KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan penangguhan semua perlawanan kalah mati melibatkan pasukan Zon Barat dalam tiga kejohanan utama Asia susulan faktor keselamatan di rantau berkenaan.
Keputusan itu dibuat selepas badan induk bola sepak Asia tersebut sebelum ini menangguhkan perlawanan pertama yang dijadual berlangsung pada 1 Mac lalu.
Terbaharu, AFC turut mengesahkan aksi timbal balik yang sepatutnya berlangsung antara 9 hingga 11 Mac ini juga ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pemain, pegawai dan penyokong tidak terjejas susulan situasi keselamatan yang semakin membimbangkan di beberapa negara Zon Barat.
Penangguhan tersebut membabitkan tiga kejohanan utama iaitu AFC Champions League Elite bagi peringkat 16 terbaik Zon Barat, selain suku akhir AFC Champions League Two serta suku akhir AFC Challenge League yang melibatkan pasukan dari zon berkenaan.
Bagaimanapun, AFC memaklumkan semua perlawanan yang melibatkan kelab Zon Timur akan diteruskan seperti jadual asal tanpa sebarang perubahan.
Tarikh baharu bagi perlawanan Zon Barat dijangka diumumkan selepas keadaan keselamatan di rantau itu kembali stabil. -DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC