KUALA LUMPUR – Rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain yang terpalit dalam kes pemalsuan dokumen naturalisasi akhirnya menemui jalan buntu apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan tersebut.
Dalam keputusan terbaharu yang diumumkan, badan kehakiman sukan yang berpangkalan di Switzerland itu mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.85 juta) ke atas FAM selepas mendapati wujud kelemahan institusi yang membolehkan dokumen berkaitan keturunan Malaysia dipalsukan.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kes itu bermula pada tahun lalu selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati pemain terbabit menggunakan dokumen yang didakwa palsu bagi membuktikan kaitan keturunan dengan Malaysia untuk melayakkan mereka beraksi bersama skuad kebangsaan.
Pada 25 September 2025, FIFA menjatuhkan hukuman termasuk denda serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak. Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025.
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, FAM dan pemain terlibat memfailkan rayuan kepada CAS pada 5 Disember 2025.
Panel CAS yang dipengerusikan penimbang tara dari Denmark, Lars Hilliger, bagaimanapun memutuskan hukuman penggantungan 12 bulan daripada perlawanan adalah wajar, namun larangan penuh daripada semua aktiviti bola sepak dianggap terlalu berat.
Sehubungan itu, CAS meminda sebahagian hukuman dengan membenarkan pemain terbabit kembali terlibat dalam beberapa aktiviti bola sepak selepas tempoh penggantungan perlawanan tamat.
Penggantungan tersebut berkuat kuasa 5 Mac 2026, sekali gus menandakan episod panjang kes ini yang turut mencalar reputasi bola sepak negara di peringkat antarabangsa. – DETIK MALAYSIA