KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberi amaran Malaysia perlu berwaspada terhadap kemungkinan campur tangan asing serta rangkaian pro-Zionis yang didakwa cuba menggugat kestabilan politik negara.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya memandang serius pendedahan Perdana Menteri di Dewan Rakyat Malaysia mengenai dakwaan kewujudan usaha menjatuhkan kerajaan melalui rangkaian luar negara yang melibatkan dana besar serta strategi mempengaruhi media antarabangsa dan institusi luar.
Menurutnya, jika dakwaan tersebut terbukti benar selepas siasatan menyeluruh dijalankan, ia merupakan ancaman besar terhadap kedaulatan negara, integriti demokrasi berparlimen dan keselamatan nasional.
“Malaysia tidak boleh menjadi medan eksperimen ‘pengurusan persepsi’ oleh kuasa luar yang cuba memanipulasi naratif terhadap negara yang mempertahankan Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dikompromi dan sebarang operasi pengaruh asing termasuk menggunakan pihak tempatan sebagai proksi perlu dihentikan serta didedahkan melalui proses undang-undang yang adil.
Dalam masa sama, pertubuhan itu menyokong siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menekankan keperluan ketelusan kepada rakyat tanpa menjejaskan keselamatan serta proses perundangan.
Mapim turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya perang maklumat yang menggunakan rangkaian NGO antarabangsa serta saluran media tertentu untuk mempengaruhi persepsi awam.
Sehubungan itu, Mapim menggesa kerajaan memperketat kawalan terhadap pendanaan politik, menjalankan audit terhadap operasi pelobi atau konsultan komunikasi luar serta menggubal rangka kerja undang-undang bagi mengekang campur tangan asing.
Pada masa sama, Mohd Azmi menyeru semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang supaya tidak membiarkan perpecahan politik membuka ruang kepada pengaruh luar.
“Malaysia mesti kekal tegas mempertahankan prinsip keadilan sejagat termasuk pembelaan terhadap Palestin tanpa tunduk kepada tekanan atau manipulasi pihak luar,” katanya. – DETIK MALAYSIA