Konspirasi
PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius penghentian mengejut tayangan filem Konspirasi selepas kira-kira seminggu ditayangkan di pawagam.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, berdasarkan semakan awal, filem tersebut dilaporkan menerima sokongan dan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi program Film In Malaysia Incentive (FIMI), selain dikaitkan dengan sokongan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui tayangan dalaman serta program komunikasi integriti agensi berkenaan.
Menurut beliau, timbul persoalan mengapa tayangan filem tersebut dihentikan secara mendadak sekiranya ia mempunyai nilai pendidikan antirasuah, membawa mesej integriti dan berpotensi menjadi medium kreatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah.
“MCW tidak membuat tuduhan bahawa wujud campur tangan atau ‘tangan ghaib’ dalam isu ini. Namun, dalam perkara yang melibatkan karya bertemakan rasuah, institusi awam serta persepsi kuasa dan kepentingan tertentu, kekosongan maklumat hanya akan membuka ruang kepada pelbagai spekulasi.
“Jika keputusan menghentikan tayangan itu dibuat oleh pihak penerbit semata-mata, penjelasan rasmi yang lebih menyeluruh wajar diberikan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, orang ramai berhak mengetahui sama ada penghentian tayangan tersebut berpunca daripada faktor komersial, teknikal, undang-undang, sensitiviti kandungan, tekanan pihak tertentu atau sebab-sebab lain.
Tambahnya, filem seperti Konspirasi sepatutnya menjadi sebahagian daripada usaha pendidikan awam dalam memerangi rasuah.
“Apabila sebuah karya yang membawa mesej antirasuah dihentikan secara mengejut, mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat menjadi kabur.
“Ketelusan mesti mengatasi spekulasi. Jika tiada apa yang disembunyikan, maka tiada sebab rakyat dibiarkan tertanya-tanya,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA