SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan naratif xenofobia yang disifatkan semakin ketara terhadap golongan pelarian, migran dan pendatang tanpa dokumen di negara ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendekatan berperikemanusiaan dan seimbang perlu dijadikan asas dalam menangani isu berkaitan pelarian serta komuniti tanpa dokumen yang terdedah kepada penindasan, perpindahan paksa dan eksploitasi.
Menurut beliau, Mapim menyokong pendirian Mufti Sabah yang menyeru supaya kebijaksanaan, sikap berhati-hati dan nilai belas ihsan dijadikan panduan dalam perbahasan awam serta pelaksanaan dasar berkaitan isu tersebut.
“Isu keselamatan dan undang-undang imigresen sememangnya hak negara untuk diuruskan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menyemarakkan kebencian, penghinaan atau hukuman kolektif terhadap sesuatu komuniti.
“Islam dengan jelas menolak perkauman, prejudis dan kezaliman. Al-Quran mengingatkan bahawa seluruh manusia diciptakan dengan kemuliaan dan pelbagai bangsa diwujudkan untuk saling mengenali, bukannya saling membenci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ramai pelarian dan pendatang tanpa dokumen sebenarnya menjadi mangsa keadaan akibat peperangan, penganiayaan, kehilangan kerakyatan, pemerdagangan manusia serta keruntuhan ekonomi di negara asal mereka.
Sehubungan itu, katanya, mereka tidak wajar dilabel secara umum sebagai penjenayah atau ancaman kepada masyarakat kerana generalisasi sedemikian hanya akan memburukkan perpecahan sosial, ketakutan dan permusuhan dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menggesa kerajaan memperkukuh prosedur imigresen yang lebih adil, telus dan berperikemanusiaan selain menyeru pemimpin agama serta tokoh masyarakat mengelakkan retorik melampau yang boleh mencetuskan kebencian terhadap warga asing dan komuniti pelarian.
Mapim turut menggesa media melaporkan isu berkaitan pelarian dan pendatang tanpa dokumen secara bertanggungjawab tanpa sensasi, manakala pertubuhan masyarakat sivil disaran memperluaskan bantuan kemanusiaan, bantuan guaman dan program keterlibatan komuniti.
“Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara yang dipandu oleh tanggungjawab moral, nilai kemanusiaan dan prinsip ketamadunan. Kita mampu mengurus kawalan sempadan, keselamatan dan pematuhan undang-undang secara tegas tanpa mengorbankan maruah manusia serta nilai belas ihsan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – https://www.hrw.org/