KUALA LUMPUR – Keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional untuk melaksanakan penstriman langsung perbicaraan kes rasuah di peringkat Mahkamah Rayuan Malaysia bagi tontonan umum di sambut baik.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ketelusan institusi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan satu reformasi penting dalam usaha memerangi rasuah secara lebih terbuka dan bertanggungjawab.
“Selama ini kes rasuah berprofil tinggi sering mendapat perhatian masyarakat, namun maklumat yang diperoleh kebanyakannya datang daripada laporan media atau perbincangan di media sosial.
“Penstriman langsung akan membolehkan rakyat melihat sendiri bagaimana proses keadilan dijalankan, termasuk hujah pendakwaan, pembelaan serta pertimbangan hakim berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, langkah itu juga berpotensi mengurangkan manipulasi fakta oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membentuk persepsi melalui petikan maklumat di luar konteks sebenar prosiding mahkamah.
Dalam masa sama, ia turut berfungsi sebagai medium pendidikan kepada masyarakat mengenai proses sistem keadilan serta standard pembuktian dalam kes rasuah.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya pelaksanaan penstriman tersebut disertai garis panduan yang jelas termasuk penggunaan platform rasmi badan kehakiman, kawalan terhadap penyuntingan atau penyebaran semula rakaman prosiding serta perlindungan terhadap saksi dan pemberi maklumat.
Jelasnya, jika dilaksanakan dengan baik, langkah itu berpotensi menjadi satu mercu tanda penting dalam memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem keadilan negara. – DETIK MALAYSIA