SHAH ALAM – Menafikan hak pendidikan kepada kanak-kanak pelarian bukan sahaja menjejaskan masa depan golongan itu, malah berpotensi menimbulkan pelbagai implikasi sosial, ekonomi dan keselamatan kepada negara dalam jangka panjang.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendidikan bukan sekadar medium pembelajaran akademik, tetapi turut berperanan sebagai instrumen perlindungan, pembentukan sahsiah, integrasi sosial dan pembangunan insan.
Menurut beliau, kegagalan menyediakan akses pendidikan kepada anak-anak pelarian boleh mewujudkan ‘lost generation’ atau generasi yang kehilangan peluang untuk membangunkan potensi diri.
“Mereka berisiko membesar tanpa kemahiran asas membaca, menulis dan berfikir secara kritikal sekali gus terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan yang berpanjangan.
“Kanak-kanak yang tidak berada dalam sistem pendidikan juga lebih mudah terdedah kepada eksploitasi seperti buruh kanak-kanak, pemerdagangan manusia, pengemisan, eksploitasi seksual dan kegiatan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekolah merupakan benteng perlindungan paling penting bagi kanak-kanak yang hidup dalam keadaan rentan selain membantu membentuk disiplin dan nilai sosial yang positif.
Katanya, ketiadaan akses kepada pendidikan turut berisiko meningkatkan gejala sosial, keciciran nilai, penglibatan dalam aktiviti tidak sihat serta konflik dengan masyarakat setempat.
“Ramai melihat pendidikan sebagai isu kebajikan semata-mata, sedangkan ia juga berkait rapat dengan aspek keselamatan negara.
“Kanak-kanak yang menerima pendidikan lebih memahami undang-undang, norma masyarakat, tanggungjawab sosial dan budaya negara tempat mereka berada,” ujarnya.
Mohd Azmi berkata, tanpa pendidikan yang sempurna, peluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik pada masa depan menjadi sangat terhad, sekali gus menyuburkan kitaran kemiskinan dalam komuniti pelarian.
Menurutnya, institusi pendidikan juga berfungsi sebagai ruang untuk membina hubungan sosial, mempelajari bahasa tempatan serta memupuk persefahaman antara komuniti.
“Apabila kanak-kanak pelarian terasing daripada sistem pendidikan, jurang dengan masyarakat tempatan akan semakin melebar dan berpotensi melahirkan salah faham, stereotaip serta prejudis,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam kalangan pelarian hari ini mungkin terdapat individu yang berpotensi menjadi doktor, jurutera, guru, saintis atau pemimpin pada masa depan, namun potensi tersebut akan terkubur tanpa peluang pendidikan.
Mengulas situasi di Malaysia, beliau berkata kanak-kanak pelarian dan pemohon suaka ketika ini tidak dibenarkan mengikuti pendidikan formal di sekolah kerajaan dan hanya bergantung kepada pusat pembelajaran komuniti yang mempunyai sumber terhad.
Dari perspektif Islam, katanya, ilmu merupakan hak dan keperluan setiap insan tanpa mengira bangsa, keturunan atau status seseorang.
“Menafikan pendidikan kepada anak-anak pelarian mungkin dilihat sebagai penyelesaian mudah, namun hakikatnya ia hanya menangguhkan masalah dan berpotensi mencipta krisis yang lebih besar pada masa hadapan.
“Jika kita mahukan masyarakat yang aman, selamat dan harmoni, pendidikan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada penyelesaian, bukannya ancaman,” katanya. – DETIK MALAYSIA