MOTEGI, Jepun – Pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan kejayaan meraih enam kemenangan berturut-turut dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada pengorbanan dan kerja keras seluruh pasukan JDT Racing Team.
Bekas pelumba MotoGP itu meneruskan dominasi dalam kategori Asia Superbike 1000cc (ASB1000) apabila sekali lagi muncul juara pada Perlumbaan 2 pusingan ketiga di Mobility Resort Motegi, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas carta kejuaraan.
Menurut Hafizh, kejayaan menyapu bersih enam perlumbaan setakat ini adalah hasil komitmen tinggi setiap anggota pasukan yang bekerja keras di belakang tabir.
“Alhamdulillah, kami berjaya melengkapkan hujung minggu yang sempurna. Enam kemenangan berturut-turut. Dari luar mungkin nampak mudah, tetapi di sebaliknya ada banyak pengorbanan, latihan keras dan usaha daripada semua dalam pasukan.
“Walaupun keputusan yang diraih sangat baik, kami juga melalui pelbagai cabaran sepanjang musim ini. Sebab itu enam kemenangan berturut-turut ini cukup istimewa buat saya,” katanya.
Kemenangan di Motegi melengkapkan satu lagi aksi cemerlang buat Hafizh dan JDT Racing Team yang sekali lagi membuktikan kelebihan dari segi kelajuan, konsistensi serta strategi perlumbaan berdepan saingan sengit dalam kategori ASB1000.
Pelumba berusia 31 tahun itu turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada semua individu yang memainkan peranan penting dalam perkembangan pasukan termasuk jurutera, mekanik, pihak pengurusan dan penaja.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan kerana tanpa mereka saya tidak akan berada di sini. Keputusan ini adalah milik kita semua,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hafizh turut merakamkan penghargaan kepada para penaja dan penyokong setia termasuk Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang banyak membantu perkembangan JDT Racing Team dalam arena perlumbaan motosikal serantau.
“Terima kasih juga kepada semua penaja atas sokongan yang diberikan dan terutamanya kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail kerana memberi peluang kepada kami serta sentiasa percaya dengan kemampuan pasukan untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Walaupun sedang menikmati rentak kemenangan, Hafizh tidak mahu cepat berpuas hati apabila kini mengalihkan fokus ke pusingan seterusnya di Mandalika, Indonesia.
Katanya, usaha untuk terus meningkatkan prestasi pasukan dan membantu rakan sepasukan berkembang menjadi keutamaan bagi memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan sehingga penghujung musim.
“Sekarang kami menantikan cabaran di Mandalika. Saya berharap dapat terus membantu rakan sepasukan meningkatkan prestasi dan menjadi lebih kuat bersama-sama,” katanya.
Dengan enam kemenangan daripada enam perlumbaan setakat ini, Hafizh dilihat muncul sebagai pelumba paling konsisten dan sukar digugat dalam perebutan gelaran ASB1000 musim 2026.
Ketika saingan bakal beralih ke Mandalika, pencabar lain kini berdepan tugas sukar untuk mengekang dominasi Hafizh dan JDT Racing Team yang sedang berada di kemuncak prestasi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC