DALLAS – Jepun mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Belanda 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas, awal pagi tadi.
Keputusan itu dianggap cukup berharga buat skuad kendalian Hajime Moriyasu yang turun tanpa kapten dan tonggak tengah, Wataru Endo selepas pemain itu mengalami kecederaan menjelang kejohanan.
Belanda memulakan perlawanan dengan lebih agresif dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Donyell Malen, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Jepun, Zion Suzuki.
Suzuki sekali lagi menjadi penyelamat pasukannya apabila menafikan tandukan berbahaya Malen pada minit ke-34 untuk memastikan kedudukan kekal terikat tanpa jaringan sehingga tamat babak pertama.
Belanda akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-51 apabila kapten pasukan, Virgil van Dijk menanduk masuk hantaran lintang Ryan Gravenberch hasil gerakan yang bermula daripada sepakan penjuru.
Bagaimanapun, Jepun tidak menunggu lama untuk memberikan reaksi apabila Keito Nakamura menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Belanda.
Kedudukan itu hanya bertahan seketika apabila pemain gantian Belanda, Crysencio Summerville kembali meletakkan Oranje di hadapan pada minit ke-64 menerusi rembatan kaki kiri yang tepat ke penjuru gol.
Ketika Belanda dilihat berada di landasan terbaik untuk meraih tiga mata penuh, Jepun sekali lagi menunjukkan karakter sebenar mereka.
Pada minit ke-88, Daichi Kamada muncul penyelamat apabila menyempurnakan situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru untuk menghadiahkan gol penyamaan dan satu mata berharga buat Jepun.
Situasi menjadi lebih mencabar buat Jepun apabila pemain kreatif mereka, Takefusa Kubo terpaksa dikeluarkan pada minit ke-75 selepas mengalami kecederaan susulan terjahan keras lawan.
Namun, semangat berpasukan yang dipamerkan anak-anak buah Moriyasu membolehkan mereka terus berjuang sehingga wisel penamat.
Keputusan seri itu cukup signifikan buat Jepun yang turut kehilangan beberapa pemain utama termasuk Takumi Minamino dan Kaoru Mitoma sebelum kejohanan bermula akibat masalah kecederaan.
Satu mata yang diraih menempatkan Jepun dan Belanda di belakang Sweden yang membelasah Tunisia 5-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan F.
Belanda akan membuat perhitungan dengan Sweden pada 20 Jun ini, manakala Jepun dijadual menentang Tunisia dalam usaha memburu kemenangan pertama kejohanan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KNVB