MONTERREY, Mexico – Sweden memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila membelasah Tunisia 5-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Stadium BBVA, awal pagi tadi.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan Sweden muncul pendahulu kumpulan selepas satu lagi perlawanan membabitkan Belanda dan Jepun berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Bintang muda Sweden, Yasin Ayari muncul wira pasukan apabila meledak dua gol, manakala Alexander Isak, Viktor Gyokeres dan pemain gantian Mattias Svanberg masing-masing turut menyumbang satu jaringan.
Sweden hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Ayari selepas memanfaatkan keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti Tunisia.
Gol awal itu menyuntik keyakinan buat anak buah Jon Dahl Tomasson yang terus menguasai permainan menerusi gerakan pantas Isak dan Gyokeres.
Pasukan Scandinavia itu menggandakan kelebihan pada minit ke-30 apabila Isak melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol Tunisia, Mouhib Chamakh.
Bagaimanapun, Tunisia merapatkan jurang sebelum tamat babak pertama menerusi tandukan Omar Rekik hasil hantaran lintang Hannibal Mejbri untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Selepas rehat, Tunisia tampil lebih agresif dan beberapa kali mengancam kubu Sweden, namun kesilapan sendiri mengundang padah.
Pada minit ke-60, Isak berjaya merampas bola daripada kapten Tunisia, Ellyes Skhiri sebelum menghadiahkan peluang mudah kepada Gyokeres yang tenang menyempurnakan jaringan ketiga Sweden.
Pemain gantian, Svanberg kemudian melebarkan jurang selepas menyempurnakan peluang hasil hantaran Ayari. Gol tersebut pada mulanya dibatalkan kerana ofsaid sebelum disahkan oleh VAR.
Tunisia yang semakin kehilangan rentak terus dihukum apabila Ayari melengkapkan aksi cemerlangnya dengan gol kedua pada masa kecederaan menerusi rembatan jarak jauh yang menewaskan Chamakh.
Selain menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan, Isak turut mempamerkan aksi berkualiti tinggi sepanjang perlawanan apabila sentiasa mencetuskan ancaman kepada benteng pertahanan Tunisia.
Kemenangan besar itu meletakkan Sweden di kedudukan terbaik menjelang pertemuan menentang Belanda pada 20 Jun, manakala Tunisia perlu bangkit apabila berdepan Jepun dalam aksi seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SVFF