Tottenham Hotspur team huddle
LONDON – Tottenham Hotspur semakin menghampiri zon penyingkiran selepas tewas 1-3 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham awal pagi tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan Spurs kekal dengan 29 mata, hanya satu mata di atas zon penyingkiran yang kini dihuni West Ham United.
Pasukan tuan rumah sebenarnya bermula baik apabila mendahului pada minit ke-34 menerusi jaringan Dominic Solanke yang menanduk masuk hantaran lintang Archie Gray.
Namun, situasi berubah drastik empat minit kemudian apabila pertahanan Spurs, Micky van de Ven dilayangkan kad merah selepas menarik Ismaila Sarr di dalam kotak penalti.
Sarr tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Crystal Palace kemudian bangkit menguasai perlawanan. Mereka mendahului 2-1 pada masa kecederaan babak pertama menerusi jaringan Jørgen Strand Larsen hasil tekanan tinggi yang memerangkap pertahanan Spurs.
Derita Tottenham bertambah apabila Sarr sekali lagi menemui sasaran pada minit ketujuh masa kecederaan babak pertama untuk meletakkan Palace selesa mendahului 3-1.
Biarpun Spurs cuba bangkit pada babak kedua, kelebihan seorang pemain membolehkan Palace mengawal permainan hingga wisel penamat.
Keputusan itu terus memberi tekanan kepada Tottenham yang kini semakin hampir dengan zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Tottenham Hotspur