KUALA LUMPUR – Satu sejarah baharu tercipta apabila parti-parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera dari blok kerajaan dan pembangkang berhimpun dalam Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Menara UMNO, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, petang semalam.
Pertemuan itu melibatkan lapan parti politik utama iaitu UMNO, PAS, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah pertama yang dicetuskan bagi menghimpunkan parti-parti terlibat.
Menurutnya, pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan secara terbuka dalam usaha mencari titik persefahaman berkaitan isu kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera.
“Dalam sistem demokrasi, parti-parti politik sememangnya boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan atau pembangkang.
“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, semua parti yang hadir turut bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.
Katanya, sekretariat tersebut akan berfungsi sebagai platform untuk perbincangan, perundingan serta dialog secara terbuka, telus dan berterusan berkaitan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama umat Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini.
“Musyawarah ini diharap dapat menjadi wahana memperkukuh persefahaman serta mencari penyelesaian terbaik terhadap isu-isu penting yang menyentuh kepentingan umat dan negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Dr Asyraf Wajdi Dusuki