KUALA LUMPUR – Kajian Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masih berlangsung dan dijangka siap hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata laporan interim kajian itu sudah dibentangkan kepada kerajaan, manakala laporan penuh dijangka disiapkan pada hujung Mac sebelum dibentangkan kepada kementerian pada April.
“Saya sudah jawab banyak kali. Kajian itu masih berlangsung dan akan siap hujung bulan Mac.
“Kita juga telah berjumpa dengan pasukan kajian yang telah mengumumkan laporan interim dan sesi itu masih sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pengukuhan kesedaran keselamatan kebakaran di bangunan strata berketumpatan tinggi di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata semua pihak diminta tidak memandang rendah keupayaan universiti awam seperti UIAM untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pada 3 Februari lalu, Hannah dilaporkan berkata kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya PBT di ibu negara termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur sudah dijalankan sejak pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Jakkapong