KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila meraih dua pingat pada kejohanan Piala Dunia Trek UCI 2026 di Perth, Australia.
Atlet berusia 38 tahun itu memenangi pingat emas dalam acara keirin sebelum menambah koleksi dengan pingat gangsa dalam acara pecut lelaki.
Dalam acara pecut, Azizulhasni menewaskan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev, dengan keputusan 2-0 untuk meraih tempat ketiga.
Pingat emas acara tersebut dimenangi pelumba Australia, Matthew Richardson, manakala rakan senegaranya Leigh Hoffman meraih perak.
Terdahulu, Azizulhasni mencipta kejutan apabila muncul juara acara keirin selepas menewaskan Richardson dan Hoffman dalam perlumbaan yang sengit.
Kejayaan itu sekali lagi mengukuhkan reputasi Azizulhasni sebagai antara pakar keirin terbaik dunia selain membuktikan beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Walaupun sudah berusia 38 tahun, legenda berbasikal trek negara itu terus menampilkan prestasi cemerlang dan kekal menjadi antara pencabar utama dalam arena berbasikal trek antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UCI