PUTRAJAYA – Delegasi Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Mohd Zulfiqar Ahmad di pejabat beliau di sini, hari ini.
Delegasi MCW diketuai Presidennya, Jais Abdul Karim bersama Timbalan Presiden III, Julaila Samsudin serta Setiausaha Agung, Rosdi Amir bagi mendapatkan pandangan dan pencerahan berhubung tadbir urus organisasi menjelang Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Kali Ketiga MCW yang dijadual berlangsung pada Jun ini.
Dalam pertemuan tersebut, Mohd Zulfiqar memaklumkan beliau mengikuti rapat perkembangan MCW dan mengiktiraf peranan pertubuhan itu dalam mempromosikan nilai integriti serta kesedaran antirasuah dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyatakan keterbukaan ROS untuk menjalin kerjasama strategik bersama MCW menerusi program ROS-CARE yang memberi penekanan kepada aspek pematuhan undang-undang, tadbir urus baik serta pengukuhan integriti dalam pengurusan pertubuhan.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu turut membuka ruang kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh budaya integriti dan pematuhan dalam kalangan organisasi masyarakat sivil.
Kunjungan tersebut diakhiri dengan penyerahan Laporan Korporat MCW kepada Ketua Pengarah ROS serta penyampaian cenderamata daripada Presiden MCW sebagai tanda penghargaan. – DETIK MALAYSIA