KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kontroversi dokumentasi pemain hanya selepas keputusan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) diumumkan.
Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihak liga ketika ini masih menunggu penjelasan daripada badan induk bola sepak negara sebelum mengambil pendirian rasmi berkaitan isu yang melibatkan beberapa pemain serta status dokumentasi mereka.
Menurut beliau, MFL akan memberikan respons yang jelas mengenai situasi tersebut selepas keputusan berkaitan dikeluarkan oleh pihak berkaitan.
“Kami akan membuat kenyataan yang perlu selepas keputusan diumumkan. Selepas itu MFL akan memberikan penjelasan mengenai situasi melibatkan kelab dan pemain,” katanya pada sidang akhbar.
Beliau menjelaskan, buat masa ini MFL akan terus mematuhi prosedur sedia ada yang telah dimaklumkan kepada semua kelab.
MFL sebelum ini turut menghantar surat rasmi kepada kelab terlibat supaya tidak mendaftarkan atau menurunkan pemain yang dokumentasinya sedang dalam penelitian dalam mana-mana pertandingan domestik.
Menurut Ab Ghani, hanya pemain yang memiliki dokumentasi sah dan diiktiraf sahaja dibenarkan beraksi dalam liga.
“Jika dokumen tidak sah, mereka tidak boleh bermain dalam liga. Itu pendirian semasa,” ujarnya.
Isu berkenaan mendapat perhatian dalam arena bola sepak tempatan selepas timbul persoalan mengenai dokumentasi beberapa pemain yang beraksi dalam pertandingan domestik.
Ab Ghani turut menjelaskan bahawa perkara berkaitan kewarganegaraan dan dokumentasi pemain berada di luar bidang kuasa MFL.
Katanya, tanggungjawab utama MFL adalah mengurus serta menganjurkan pertandingan liga domestik, manakala hal berkaitan dokumentasi diuruskan oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk badan bola sepak kebangsaan dan agensi kerajaan.
“Isu dokumentasi bukan dalam bidang kuasa MFL. Peranan kami adalah menganjurkan pertandingan,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap penambahbaikan dalam struktur tadbir urus melibatkan pihak berkepentingan bola sepak serta institusi negara dapat memperkukuh prosedur pada masa hadapan.
Ab Ghani turut enggan membuat sebarang spekulasi mengenai kemungkinan lain seperti penarikan status kewarganegaraan pemain kerana perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa kerajaan. – DETIK MALAYSIA