KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mendakwa wujud kempen sabotaj terhadap projek pasukan kebangsaan yang didalangi oleh pihak tertentu dalam komuniti bola sepak tempatan.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mendakwa terdapat individu dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat meraih keuntungan daripada projek berkaitan skuad kebangsaan.
Menurut TMJ, terdapat pihak yang pernah memohon bantuan daripadanya untuk mendapatkan projek serta meminta pertolongan bagi mengelakkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau turut mendakwa satu kumpulan yang terdiri daripada penyokong bola sepak, individu media serta personaliti media sosial telah mengadakan pertemuan secara tertutup bagi melancarkan naratif tertentu untuk menyerang projek pasukan kebangsaan.
TMJ juga menjelaskan bahawa kes yang melibatkan FIFA sebelum ini sebenarnya berkaitan isu pemalsuan dokumen ketika proses penghantaran dokumen, dan bukannya melibatkan kelayakan atau kewarganegaraan pemain.
Menurutnya, dalam prosiding di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), wakil FIFA tidak dapat membuktikan bahawa pemain terlibat secara langsung atau berkonspirasi dalam kesalahan yang didakwa.
Dalam hantaran berasingan, TMJ turut menyentuh insiden semasa sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Padang Seri Gelam, Johor, apabila unit media pasukan kebangsaan didakwa tidak dibenarkan meminjam kamera daripada jabatan media JDT.
Beliau mendakwa perkara itu berlaku kerana terdapat individu tertentu yang tidak berpuas hati kerana tidak terlibat dalam struktur baharu pengurusan pasukan kebangsaan.
TMJ turut mengkritik kehadiran terlalu ramai pegawai bola sepak ketika sesi latihan kerana didakwa mengganggu pemain, selain menerima aduan daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Bagaimanapun, sehingga kini FAM belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang dibuat oleh TMJ itu. – DETIK MALAYSA
Kredit foto – : HRH Crown Prince of Johor