MUGELLO, Itali – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan aksi cemerlang apabila berjaya meraih petak kedua untuk perlumbaan Grand Prix (GP) Itali kelas Moto3 di Litar Mugello, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Hakim sekali lagi memulakan perlumbaan dari barisan hadapan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba muda paling menyerlah dalam kempen Moto3 musim 2026.
Lebih manis, pencapaian tersebut hadir selepas pelumba ZK Racing itu menamatkan sesi latihan pada Jumaat di kedudukan ke-21, sekali gus memaksanya mengharungi saingan kelayakan pertama (Q1) sebelum mara ke Q2.
Hakim memulakan hari perlumbaan dengan sesi latihan bebas kedua (FP2) sambil memberi tumpuan kepada analisis data dan penambahbaikan jentera di litar sepanjang 5.2 kilometer itu.
Dia mencatat masa terpantas 1 minit 56.012 saat untuk menduduki tempat ke-17, ketinggalan 0.960 saat di belakang pendahulu sesi.
Bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu bangkit dalam Q1 apabila merekodkan masa 1:55.840 saat untuk menamatkan sesi di tempat kedua dan mengesahkan tiket ke Q2.
Momentum positif itu diteruskan dalam Q2 apabila Hakim sentiasa berada dalam kelompok teratas sebelum melakukan catatan terbaik 1:54.880 saat pada penghujung sesi.
Masa tersebut membolehkannya meraih petak kedua keseluruhan, hanya dipisahkan 0.018 saat daripada pemenang petak utama, David Almansa yang mencatat masa 1:54.862 saat.
Keputusan itu merupakan kali kedua Hakim memulakan perlumbaan dari barisan hadapan musim ini selepas pernah layak di kedudukan ketiga pada GP Brazil sebelum ini.
Pencapaian di Mugello juga membuktikan peningkatan prestasi dan konsistensi yang dipamerkan pelumba negara itu dalam musim sulungnya di pentas Moto3.
Dengan kedudukan petak kedua, Hakim dilihat mempunyai peluang cerah untuk mencabar kelompok podium pada perlumbaan esok di salah satu litar paling mencabar dalam kalendar MotoGP. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing