Oleh Bazli Razak
KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraikan wakil media dan rakan strategik dalam Majlis Iftar Silaturahim UPSI Bersama Media dan Rakan Strategik 2026 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, malam tadi, sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan mereka kepada universiti itu.
Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 94 jemputan yang terdiri daripada 57 wakil daripada 28 agensi media serta 37 wakil daripada 23 agensi rakan strategik yang selama ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan universiti berkenaan.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penganjuran majlis berkenaan merupakan platform bagi menghargai peranan media dan rakan industri yang sentiasa menyokong perkembangan serta pencapaian universiti itu.
Menurut beliau, UPSI amat menghargai sumbangan media yang membantu mempromosikan pelbagai inisiatif serta kejayaan universiti kepada masyarakat.
“Bagi pihak UPSI, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan wartawan dan rakan industri kerana berkat doa, bantuan dan promosi daripada kalian, UPSI kini menjadi sebuah universiti yang ternama, tersohor dan terkemuka,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Md Amin turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa bersama universiti itu termasuk ketika berdepan detik sukar, khususnya ketika insiden yang meragut nyawa 15 pelajar pada Jun tahun lalu.
Beliau berkata sokongan dan liputan media pada ketika itu banyak membantu memulihkan semangat warga universiti yang berdepan dengan kesedihan mendalam.
“Pasukan media sentiasa bersama kami dalam susah dan senang serta membantu mengangkat kembali moral warga UPSI ketika berdepan saat yang amat mencabar.
Dalam pada itu, beliau berkata hubungan erat antara universiti, media dan rakan industri terus menjadi pemangkin kepada kejayaan UPSI di peringkat global.
Menurutnya, UPSI kini berada pada kedudukan 101 terbaik dunia dalam bidang pendidikan, selain menduduki tangga ke-156 terbaik di Asia dalam QS World University Rankings Asia 2026.
UPSI juga berada pada kedudukan ke-98 dunia dalam penarafan UI GreenMetric yang menilai komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurusan tenaga hijau.
Md Amin berkata universiti itu akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri bagi memastikan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara dapat diperkasa.
Beliau turut menegaskan bahawa UPSI akan terus kekal dengan fungsi asasnya sebagai universiti untuk masyarakat dan industri, selaras dengan legasi penubuhannya yang bermula sejak era Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922.
“UPSI tidak boleh berdiri sendiri. Universiti ini merupakan institusi masyarakat yang telah wujud lebih 100 tahun dan akan terus berperanan melahirkan generasi pendidik serta pemimpin masa depan negara,” ujar beliau.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI