KUALA TERENGGANU – Lebih 150 ahli keluarga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu berkumpul memeriahkan program tahunan ‘Iftar Kasih Keluarga Bomba’ yang diadakan di pekarangan balai tersebut sempena Ramadan tahun ini.
Program yang berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh makna itu memberi peluang kepada ahli keluarga anggota merasai sendiri suasana berbuka puasa di balai yang sentiasa bersiap siaga 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Menariknya, majlis berbuka puasa tersebut diadakan tanpa sebarang penggunaan meja atau kerusi apabila semua yang hadir menikmati juadah berbuka secara santai dengan hanya berbentangkan tikar di kawasan balai.


Juadah berbuka pula disediakan secara gotong-royong oleh anggota bertugas di balai berkenaan, sekali gus mewujudkan suasana kemesraan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota dan ahli keluarga masing-masing.
Program berkenaan dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebelum para anggota bersama keluarga menantikan waktu berbuka puasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, TPgB II Thoyyibah Taib berkata, program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 150 ahli keluarga anggota termasuk kanak-kanak serta warga emas.

“Alhamdulillah kita dapat menghimpunkan lebih 150 ahli keluarga anggota untuk berbuka puasa bersama di balai ini. Selain anak-anak yang masih kecil, ada juga dalam kalangan mereka yang membawa bersama datuk dan nenek kepada cucu masing-masing.
“Walaupun program ini diadakan secara ringkas, ia memberi makna besar kerana mampu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan anggota,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai bomba dari Dungun, Anis Fadila Zakaria, berkata peluang sebegitu jarang diperoleh dan menjadi kenangan manis buat mereka sekeluarga.

“Program seperti ini memberi peluang kepada ahli keluarga untuk lebih memahami tugasan anggota bomba yang sentiasa bersedia menjalankan tugas tanpa mengira masa,” katanya.
Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu yang diterajui oleh TPgB II Thoyyibah Taib kini mempunyai kekuatan seramai 78 anggota melibatkan pelbagai unit khas termasuk Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).