SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan kebimbangan serius terhadap wacana dan analisis terkini yang mencadangkan kemungkinan pelaksanaan apa yang digelar sebagai “serangan nuklear terhad” terhadap Iran.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, naratif sedemikian mencerminkan peralihan pemikiran strategik yang amat membimbangkan kerana seolah-olah memperkecilkan kesan kemusnahan senjata nuklear.
“Senjata nuklear bukan instrumen peperangan konvensional. Penggunaannya, walau atas apa jua alasan, merupakan pencabulan besar terhadap asas moral, undang-undang dan strategi dalam susunan antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azmi turut memandang serius kewujudan kelompok garis keras dalam struktur kuasa tertentu di Amerika Syarikat dan Israel yang didakwa cenderung menyokong peningkatan ketenteraan secara maksimum.
Menurutnya, pendekatan berbahaya itu berpaksikan kepercayaan bahawa penggunaan kekuatan melampau mampu memaksa penyerahan politik, sedangkan sejarah membuktikan tindakan sedemikian sering mencetuskan penentangan, bukan kepatuhan.
Beliau menegaskan, sebarang serangan nuklear walaupun dilabel sebagai “terhad” akan membawa implikasi besar termasuk keruntuhan norma antarabangsa, peningkatan ketidakstabilan global serta risiko tindak balas yang tidak dapat dikawal.
Selain itu, situasi tersebut juga berpotensi mempercepatkan percambahan senjata nuklear apabila negara-negara lain berusaha memperkukuh keupayaan pertahanan masing-masing.
“Lebih membimbangkan, tindakan itu tidak akan mencapai matlamat penundukan, sebaliknya mendorong peningkatan keupayaan tindak balas balas yang boleh memperluas konflik ke tahap lebih kompleks dan berbahaya,” jelasnya.
Tambah MAPIM, dalam dunia yang saling bergantung ketika ini, sebarang penggunaan senjata nuklear tidak mungkin dapat dibendung dan berisiko menarik lebih banyak pihak ke dalam konflik lebih besar.
Sehubungan itu, Mapim menggesa agar semua pihak menolak sebarang pilihan nuklear dalam konflik semasa atau akan datang, selain mengutamakan pendekatan diplomasi bagi meredakan ketegangan di Asia Barat.
Dalam masa sama, pertubuhan itu menuntut pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan tanpa pengecualian, di samping pendirian global yang tegas bagi menghalang normalisasi ancaman nuklear sebagai alat politik.
“Dunia tidak boleh membiarkan keangkuhan strategik atau persaingan geopolitik menjerumuskan manusia ke arah bencana yang tidak dapat dipulihkan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI