KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Regional Muslim Scientist Network (RMSN) dan Malaysian Academic Association Congress (MACC) mengecam keras serangan ketenteraan yang didakwa dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sehingga mengorbankan pemimpin, saintis, ahli akademik serta orang awam.
Menurut kenyataan bersama itu, tindakan tersebut merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah sesebuah negara.
“Malah, ia juga jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk kewajipan melindungi orang awam dan infrastruktur awam ketika konflik bersenjata,” menurut kenyataan itu hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut memandang serius pembunuhan bersasar terhadap golongan saintis dan ahli akademik yang selama ini menyumbang kepada pembangunan ilmu, kesihatan awam dan kemajuan sosial.
“Serangan terhadap ilmuwan bukan sekadar keganasan terhadap individu, sebaliknya merupakan serangan terhadap asas intelektual tamadun manusia,” tegas kenyataan itu.
Mapim, RMSN dan MACC turut mengambil maklum bahawa Iran tetap mencatat kemajuan dalam bidang sains, teknologi, kesihatan dan pendidikan walaupun berdepan sekatan serta tekanan geopolitik berpanjangan.
Namun, serangan berterusan itu didakwa telah menyebabkan kematian orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, selain kemusnahan sekolah, hospital serta kawasan perumahan.
Menurut kenyataan itu lagi, serangan terhadap infrastruktur penting seperti tenaga dan bekalan air turut menjejaskan kelangsungan hidup rakyat.
“Kegagalan untuk memastikan pihak bertanggungjawab dipertanggungjawabkan hanya akan melemahkan sistem antarabangsa serta membuka ruang kepada normalisasi penggunaan kekuatan ketenteraan tanpa kawalan terhadap negara berdaulat,” katanya.
Sehubungan itu, mereka menggesa agar semua bentuk serangan ketenteraan terhadap Iran dihentikan segera serta satu siasatan antarabangsa bebas dan telus dilaksanakan.
Selain itu, semua pihak turut digesa mematuhi undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, di samping melindungi golongan saintis, ahli akademik dan institusi pendidikan sebagai tonggak penting tamadun.
Mereka juga menyeru komuniti akademik global termasuk universiti dan sarjana agar tidak berdiam diri terhadap ketidakadilan.
“Institusi ilmu mesti menjadi suara hati kemanusiaan dengan berani menegakkan kebenaran dan menolak penindasan.
“Dunia tidak boleh ditadbir dengan logik kekuatan semata-mata. Keadilan, maruah insan dan keamanan sejagat mesti dipertahankan dengan tegas.
“Berdiam diri terhadap ketidakadilan adalah satu pengkhianatan terhadap kemanusiaan,” kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Kenyataan sama turut disokong oleh Pengarah RMSN merangkap Presiden MACC, Ahmad Ismail. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI