KUALA TERENGGANU – Terengganu FC mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai yang berundur bagi meneruskan peluang kerjaya baharu.
Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak pengurusan kelab merakamkan penghargaan atas dedikasi, komitmen serta sumbangan beliau sepanjang mengemudi pentadbiran pasukan itu.
Menurut kenyataan tersebut, Sheikh Farouk memainkan peranan penting dalam memperkukuh struktur organisasi kelab selain menyumbang kepada pembangunan menyeluruh Terengganu FC, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah membantu memperkukuh pengurusan kelab serta menyumbang kepada pembangunan keseluruhan Terengganu FC,” kata kenyataan itu.
Pengurusan kelab turut memuji usaha beliau dalam menambah baik operasi dalaman serta menyokong hala tuju jangka panjang pasukan, sekali gus memberi impak positif kepada struktur bola sepak kelab.
Dalam masa sama, Terengganu FC menzahirkan penghargaan atas segala jasa yang telah dicurahkan dan menyifatkan sumbangan tersebut akan terus dikenang oleh kelab serta penyokong.
Sementara itu, Sheikh Farouk dalam ucapan perpisahannya merakamkan terima kasih kepada seluruh warga kelab atas sokongan yang diberikan sepanjang tempohnya bersama pasukan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh keluarga Terengganu FC atas sokongan yang diberikan. Saya mendoakan kejayaan berterusan buat Terengganu FC. Loyalty Never Fades,” katanya.
Pengunduran beliau menandakan berakhirnya satu fasa penting buat kelab Pantai Timur itu, dengan pengurusan dijangka memulakan proses pelantikan CEO baharu bagi menerajui era seterusnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TFC