JOHOR BAHRU – Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim, Luis Garcia menggesa satu perbincangan meja bulat melibatkan semua kelab Liga Malaysia diadakan bagi membincangkan isu kelestarian kewangan bola sepak tempatan.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon yang mendakwa mempunyai penyelesaian terhadap masalah kewangan yang melanda Liga Super ketika ini.
Garcia berkata, beliau berminat dengan cadangan tersebut namun menegaskan ia perlu dibincangkan secara terbuka bersama semua pasukan bagi memastikan penyelesaian yang dicadangkan benar-benar praktikal.
“Saya tertarik dengan kenyataan CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal yang mengatakan beliau mempunyai penyelesaian kepada masalah kewangan Liga Malaysia.
“Saya percaya kita perlu mengadakan perbincangan meja bulat bersama semua pasukan kerana kita perlu memahami apakah idea penyelesaian yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut bekas pemain antarabangsa itu, kerjasama antara semua kelab amat penting dalam menangani isu struktur dan kewangan yang terus membelenggu bola sepak tempatan.
Dalam masa sama, beliau turut mengiktiraf pengalaman luas dimiliki Dr. Johan dalam pentadbiran bola sepak dan menyuarakan keterujaan untuk mendengar cadangan yang bakal diketengahkan.
“Saya berbesar hati pernah bermain di peringkat tertinggi selain bekerja dengan organisasi bertaraf dunia dan saya amat berminat untuk mengetahui solusi yang dimiliki Dr. Johan berdasarkan pengalaman luas beliau,” ujarnya.
Garcia turut berharap perbincangan melibatkan semua pasukan dapat direalisasikan dalam masa terdekat bagi mencari pendekatan terbaik demi memastikan kestabilan jangka panjang liga domestik.
Isu pengurusan kewangan terus menjadi topik hangat dalam bola sepak Malaysia apabila beberapa kelab berdepan kekangan bajet serta cabaran operasi sejak kebelakangan ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST