KUALA LUMPUR – Saranan memperluaskan penggunaan biodiesel B100 berasaskan 100 peratus minyak sawit mentah (MSM) disambut baik kepimpinan warga peneroka di seluruh negara sebagai langkah konkrit membela nasib serta masa depan komuniti itu.
Inisiatif kerjasama antara FELDA dan FGV Holdings Berhad dilihat bukan sekadar dasar tenaga, sebaliknya usaha strategik memastikan hasil titik peluh peneroka terus bernilai dan dihargai.
Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Datuk Sulong Jamil Mohamad Shariff berkata, pelaksanaan B100 adalah langkah tepat dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini.
“Apabila minyak sawit digunakan secara meluas sebagai bahan api, ia membuka ruang kepada permintaan yang lebih stabil. Ini secara langsung membantu meningkatkan pendapatan peneroka dan memberi jaminan ekonomi yang lebih kukuh kepada keluarga mereka,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Koperasi Permodalan Felda (KPF) dilantik sebagai pengedar tunggal B100, termasuk penyediaan kiosk khas di kawasan FELDA serta pelaksanaan melalui syarikat KPF berteraskan ekonomi hijau.
Menurutnya, pendekatan itu mampu memastikan pulangan ekonomi kembali kepada peneroka sebagai pencarum KPF, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi yang berpusar dalam komuniti peneroka sendiri.
“Penggunaan B100 secara menyeluruh melibatkan kenderaan operasi, jentera ladang dan mekanisasi FELDA juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada diesel.
“Ia sekali gus membantu menurunkan kos operasi serta mengurangkan tekanan kenaikan harga bahan api yang selama ini ditanggung peneroka,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan B100 bukan sekadar soal teknologi, sebaliknya melibatkan aspek kebajikan rakyat.
“Bila kos dapat dikawal dan hasil meningkat, kehidupan peneroka akan jadi lebih terjamin,” ujarnya.
Dalam masa sama, penggunaan B100 dijangka memberi impak positif kepada keseluruhan industri sawit negara, sekali gus memastikan komoditi utama itu terus kukuh dan stabil serta memberi manfaat kepada rantaian ekonomi dari peringkat ladang hingga nasional.
Langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan untuk meletakkan kepentingan peneroka sebagai keutamaan, selain memastikan pembangunan ekonomi negara bergerak seiring kesejahteraan komuniti luar bandar.
“Daripada ladang, kepada tenaga, kembali kepada peneroka,” katanya. – DETIK MALAYSIA