SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya rancangan terbaharu Israel untuk memperluaskan penguasaan wilayah di Gaza sehingga 70 peratus yang disifatkan sebagai peningkatan berbahaya terhadap pendudukan dan penindasan rakyat Palestin.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dilaporkan mahu meningkatkan kawalan wilayah daripada 50 peratus kepada 60 peratus dan seterusnya 70 peratus mencerminkan strategi penguasaan paksa serta perubahan demografi di Gaza.
Menurut beliau, tindakan itu tidak boleh dipisahkan daripada kemusnahan, sekatan, kebuluran dan penderitaan besar-besaran yang sedang dihadapi penduduk Palestin sejak berbulan-bulan lalu.
“Sebarang usaha merampas atau menguasai secara kekal sebahagian besar Gaza merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa termasuk larangan memperoleh wilayah melalui kekerasan, hukuman kolektif terhadap orang awam, pemindahan paksa penduduk dan penafian hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa tidak boleh menormalkan kenyataan yang secara terbuka membayangkan peluasan wilayah di bawah pendudukan ketenteraan.
“Gaza bukan tanah kosong yang boleh dibahagi, dikawal atau direka semula mengikut kepentingan ketenteraan. Ia adalah tanah air lebih dua juta rakyat Palestin yang terus berdepan pengeboman, pemindahan paksa, kebuluran dan bencana kemanusiaan,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan kuasa-kuasa besar dan institusi antarabangsa bertindak menghentikan tindakan Israel telah menjejaskan keyakinan global terhadap sistem perundangan antarabangsa.
Sehubungan itu, Mohd Azmi menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bertindak segera dengan menuntut penghentian peluasan operasi ketenteraan di Gaza, menolak sebarang usaha merampas wilayah, memastikan perlindungan orang awam serta menjamin akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.
Selain itu, Mapim turut menggesa negara-negara Islam, anggota ASEAN, negara-negara Selatan Global serta semua pihak yang memperjuangkan kemanusiaan meningkatkan tekanan diplomatik, politik dan bantuan kemanusiaan bagi menghentikan kemusnahan berterusan di Gaza.
“Keamanan tidak akan lahir daripada pendudukan, sekatan, kebuluran dan peluasan wilayah. Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui keadilan, akauntabiliti dan pengiktirafan terhadap hak rakyat Palestin,” katanya. – DETIK MALAYSIA