Gambar Hiasan.
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak masyarakat antarabangsa memperbaharui usaha diplomatik bagi menyelesaikan pertikaian Jammu dan Kashmir yang berlarutan sejak 79 tahun lalu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu Kashmir tidak boleh terus dipinggirkan sehingga penderitaan rakyatnya, perlindungan hak asasi manusia dan hak menentukan nasib sendiri gagal diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, Hari Kashmir Black Day yang diperingati pada 27 Oktober setiap tahun menjadi peringatan terhadap konflik berpanjangan sejak ketibaan tentera India di Srinagar pada 27 Oktober 1947.
“Konflik yang berlarutan tidak boleh dijadikan alasan untuk masyarakat antarabangsa terus bersikap tidak peduli.
“Penderitaan orang awam, hak mangsa dan aspirasi rakyat Kashmir menuntut perhatian berterusan, dokumentasi yang boleh dipercayai dan tindakan antarabangsa yang bermakna,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kashmir Black Day 2026, hari ini.
Menurutnya, pertikaian Kashmir bukan sekadar konflik serantau antara India dengan Pakistan, sebaliknya turut membabitkan prinsip hak menentukan nasib sendiri, hak asasi manusia dan kewibawaan sistem antarabangsa dalam menegakkan keadilan.
Beliau berkata, Resolusi 47 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 April 1948 membincangkan usaha memulihkan keamanan dan ketenteraman di Jammu dan Kashmir, termasuk syarat bagi pelaksanaan pungutan suara bebas dan tidak berat sebelah untuk menentukan sama ada wilayah itu menyertai India atau Pakistan.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa memberikan perhatian baharu kepada resolusi PBB berkaitan serta mengusahakan penyelesaian secara aman dengan mengambil kira hak dan aspirasi rakyat Kashmir.
Azmi berkata, kebimbangan terhadap pelanggaran hak asasi manusia di wilayah itu turut dibangkitkan dalam laporan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia pada 2018 dan 2019.
Katanya, laporan berkenaan membangkitkan isu termasuk dakwaan penggunaan kekerasan secara berlebihan, penahanan sewenang-wenangnya, ketiadaan akauntabiliti dan sekatan terhadap kebebasan asasi di Kashmir yang ditadbir India dan Pakistan.
“Setiap dakwaan yang mempunyai asas munasabah mengenai pembunuhan di luar proses undang-undang, kehilangan paksa, penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya atau pelanggaran serius lain mesti disiasat secara bebas dan sewajarnya.
“Mangsa serta keluarga mereka berhak mengetahui kebenaran, memperoleh keadilan dan mendapat pemulihan yang berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM turut menegaskan kepentingan solidariti antarabangsa terhadap Kashmir dan Palestin, khususnya dalam memperjuangkan hak menentukan nasib sendiri, perlindungan orang awam serta akauntabiliti.
Bagaimanapun, Azmi berkata, kedua-dua isu mempunyai latar belakang sejarah dan keadaan perundangan berbeza yang perlu dinilai secara berasingan.
Beliau turut menggesa kerajaan India menghormati hak asasi rakyat Jammu dan Kashmir, memastikan dakwaan pelanggaran serius disiasat secara bebas serta membuka ruang penglibatan bermakna dengan wakil rakyat Kashmir bagi mencapai penyelesaian politik secara aman.
MAPIM juga menyeru PBB dan masyarakat antarabangsa mempergiat usaha diplomatik, menyokong pemantauan hak asasi manusia yang bebas serta menggalakkan dialog aman antara India dengan Pakistan.
Selain itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara majoriti Muslim digesa menyelaraskan tindakan diplomatik, manakala Malaysia disaran terus membangkitkan isu Kashmir melalui saluran diplomatik dan forum antarabangsa yang bersesuaian.
Azmi berkata, MAPIM turut mencadangkan Pelan Tindakan Malaysia-Kashmir yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama, iaitu advokasi diplomatik, dokumentasi hak asasi manusia, penyelidikan akademik, solidariti kemanusiaan dan kepimpinan generasi muda.
Katanya, NGO, universiti dan mahasiswa perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran awam, menjalankan penyelidikan serta memastikan maklumat mengenai Kashmir disampaikan secara bertanggungjawab berdasarkan bukti yang boleh dipercayai.
“Generasi muda mesti dididik untuk mempertahankan keadilan tanpa menyebarkan kebencian atau dakwaan yang tidak disahkan.
“Keadilan tidak boleh bergantung pada kepentingan politik. Hak asasi manusia tidak boleh dilaksanakan secara terpilih. Masa depan Kashmir tidak boleh terus ditangguhkan tanpa penyelesaian yang adil,” katanya.
Beliau menegaskan, masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan konflik yang belum selesai terus diwarisi oleh generasi demi generasi.
“Kashmir tidak boleh dilupakan. Para mangsa tidak boleh dibiarkan tanpa pembelaan. Hak penentuan nasib sendiri mesti kekal sebagai teras kepada penyelesaian yang adil dan berkekalan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – VCG
