SEREMBAN – Negeri Sembilan FC (NSFC) menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh masa depan bola sepak domestik dengan menggesa kerjasama menyeluruh antara semua pihak berkepentingan demi kelangsungan Liga Malaysia.
Menerusi satu kenyataan rasmi bertajuk “Demi Kelangsungan Liga Malaysia”, kelab itu mengakui perbincangan mengenai hala tuju liga kini semakin hangat, sekali gus menuntut peranan lebih besar daripada setiap kelab bagi memastikan kestabilan ekosistem bola sepak negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faliq Firdaus berkata, cabaran yang dihadapi ketika ini bukan bersifat sementara, sebaliknya melibatkan isu struktur yang lebih kompleks.
“Tekanan kewangan, tadbir urus serta model komersial liga antara aspek utama yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Menurut beliau, faktor global seperti ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik dan konflik antarabangsa turut memberi kesan kepada landskap penajaan serta keyakinan pelabur dalam industri sukan.
Sehubungan itu, NSFC menegaskan keperluan perbincangan terbuka dan telus yang melibatkan semua pihak dalam ekosistem bola sepak termasuk Amateur Football League (AFL), Persatuan Bola Sepak Malaysia serta agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan.
“Sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara bersendirian kerana impaknya melibatkan keseluruhan struktur bola sepak negara,” jelasnya.
Tambah Faliq, dialog yang jujur dan menyeluruh perlu dilaksanakan segera bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
NSFC dalam masa sama menyatakan kesediaan untuk terus memainkan peranan aktif dengan menyumbang idea serta bekerjasama dalam membina liga yang lebih stabil, kompetitif dan mampan untuk jangka panjang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC