ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim FC (JDT) mengesahkan tiket ke pentas final Piala Malaysia 2025/26 selepas membenam Kuala Lumpur City FC dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Aksi bermula seimbang apabila kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang. KL City kendalian Risto Vidakovic tampil agresif bagi memburu kebangkitan selepas keputusan perlawanan pertama.
Bagaimanapun, benteng pelawat kekal kental mengekang asakan tuan rumah, sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, JDT menggandakan tekanan sebelum meledak tiga gol dalam tempoh 10 minit untuk menutup terus peluang lawan.
Penyerang sensasi, Bergson da Silva mencuri tumpuan dengan dua gol, manakala Syahmi Safari turut mencatat nama sebagai penjaring.
KL City sempat merapatkan jurang menerusi tandukan Giancarlo Gallifuoco, namun jaringan itu sekadar mengubat duka penyokong pelawat.
JDT terus garang apabila Ajdin Mujagic melengkapkan kemenangan, sekali gus memastikan agregat besar 8-1 memihak Harimau Selatan.
Kemenangan tersebut menyaksikan JDT melangkah ke final Piala Malaysia buat kali keenam berturut-turut dan kini menanti pemenang antara Kuching City FC dan Selangor FC.
Skuad kendalian Harimau Selatan itu juga berpeluang memburu kejuaraan keempat sejak 2022, sekali gus mengukuhkan dominasi mereka dalam kancah bola sepak tempatan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST