SEPANG – Penganjuran perlumbaan Super GT Championship 2026 di Sepang International Circuit berkemungkinan dibatalkan susulan kebimbangan terhadap krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Menurut laporan portal sukan permotoran Sportscar365, pusingan ketiga yang dijadual berlangsung di Malaysia itu mungkin tidak diteruskan berikutan risiko kekurangan bekalan bahan api serta peningkatan kos logistik.
Situasi geopolitik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran dilihat memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga global, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan eksport minyak dari rantau tersebut.
Difahamkan, kerajaan Malaysia yang menjadi antara penyokong utama perlumbaan di Sepang telah meminta penganjur mengehadkan acara berskala besar yang tidak kritikal bagi menjimatkan penggunaan sumber.
Selain itu, peningkatan mendadak kos penghantaran jentera perlumbaan, peralatan serta pergerakan pasukan dan kru turut menjadi faktor yang merumitkan penganjuran acara berkenaan.
Pengumuman rasmi mengenai status perlumbaan dijangka dibuat dalam minggu ini, selari dengan pembukaan musim Super GT Championship di Litar Antarabangsa Okayama, Jepun.
Setakat ini, pihak penganjur GT Association dan promoter tempatan, HARO Sports & Entertainment masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Sebagai rekod, perlumbaan di Sepang merupakan satu-satunya pusingan luar negara dalam kalendar Super GT Championship dan kembali dianjurkan pada 2025 menerusi perjanjian selama tiga tahun selepas kali terakhir berlangsung dari 2005 hingga 2013. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Super GT Malaysia