ISKANDAR PUTERI – Legenda Liverpool FC, Luis García mengakui tidak menyangka emosinya terhadap bola sepak kembali menyala selepas persaraan, sehinggalah detik bersejarah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) mengubah segalanya.
Kini selaku Ketua Pegawai Eksekutif JDT, García mendedahkan beliau mengalirkan air mata apabila Harimau Selatan melakar sejarah mara ke suku akhir AFC Champions League Elite buat kali pertama.
Kejayaan itu hadir selepas JDT menewaskan Sanfrecce Hiroshima dengan agregat 3-2 satu momen yang cukup bermakna buat bekas juara Liga Juara-Juara Eropah 2005 itu.
“Saya selalu fikir selepas bersara, perasaan itu tidak akan datang kembali. Saya masih bermain bola santai setiap minggu, tetapi emosi kompetitif itu saya sangka sudah hilang.
“Tetapi apabila ia datang semula, saya tidak jangka. Dan saya menangis,” katanya.
Menurut García, detik melihat pemain JDT meraikan kemenangan selepas melalui jadual padat merentas Asia dari Malaysia ke Vietnam dan Jepun menjadi pencetus emosi tersebut.
“Bila saya lihat mereka melompat kegembiraan selepas segala pengorbanan dan perjalanan panjang, emosi itu kembali,” ujarnya.
Mengimbas perjalanan kariernya, García yang pernah beraksi bersama Atlético Madrid dan FC Barcelona memilih haluan pengurusan selepas bersara pada 2016.
Katanya, beliau lebih selesa bekerja di belakang tabir berbanding berada di padang sebagai jurulatih.
Peluang bersama JDT hadir selepas pertemuan dengan Tunku Ismail Idris yang berjaya meyakinkannya dengan visi besar kelab tersebut.
“Ketika itu saya selesa bersama ESPN, tetapi visi Tunku Mahkota Johor sangat luar biasa,” jelasnya.
Sejak 2013, JDT muncul sebagai kuasa dominan Asia Tenggara dengan 12 kejuaraan liga domestik, selain membina struktur profesional setanding kelab luar negara.
“Kita ada jurulatih, penganalisis, staf kecergasan, pakar situasi bola mati dan pasukan digital. Semuanya tersusun,” katanya.
Dalam masa sama, García menyifatkan bintang muda negara, Arif Aiman sebagai permata bola sepak Malaysia.
“Dia sangat pantas, kuat dalam situasi satu lawan satu dan mampu menjaringkan gol. Dia boleh bermain di Eropah,” katanya.
Walaupun JDT kekal dominan dengan rekod tanpa kalah panjang dalam liga, García menegaskan cabaran sebenar tetap di pentas Asia.
“Liga Juara-Juara adalah ujian terbesar kami. Kami sudah cipta sejarah, tetapi bila lihat apa maknanya kepada pemain dan penyokong, di situlah emosi itu datang semula.”
Daripada keajaiban Istanbul ke magis Iskandar Puteri, jelas bola sepak masih mempunyai cara tersendiri untuk menghidupkan jiwa seorang Luis García. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST