KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menuntut pemainnya mengekalkan fokus penuh serta kematangan emosi menjelang aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elite 2025/26 menentang kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, kelebihan yang dimiliki hasil perlawanan pertama tidak boleh dijadikan sandaran kerana aksi di Hiroshima perlu dianggap sebagai perlawanan yang baharu sepenuhnya.
“Ini perlawanan yang sukar kerana mereka adalah pasukan yang kuat dan bermain dengan sangat baik.
“Perkara paling penting bagi kami ialah melupakan keputusan sebelum ini kerana esok adalah perlawanan baharu dan satu lagi pertempuran,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Muñoz berkata, pemain JDT perlu turun dengan keyakinan serta karakter yang kuat bagi memastikan mereka mampu mengawal permainan dalam aksi penting tersebut.
Katanya, perlawanan seperti ini wajar dinikmati kerana ia adalah detik istimewa buat pemain, kelab serta penyokong yang sentiasa memberi sokongan.
Dalam masa sama, Muñoz turut mengakui ketiadaan tiga pemain utama menjelang perlawanan itu sedikit menjejaskan pasukan, namun percaya skuad Harimau Selatan memiliki kedalaman yang cukup untuk mengatasi situasi berkenaan.
“Kami hanya fokus kepada pemain yang bersedia untuk beraksi. Sudah tentu saya bersimpati dengan pemain yang tidak dapat bermain kerana mereka boleh menjadikan pasukan lebih kuat.
“Tetapi inilah bola sepak. Kami mempunyai skuad besar dan pemain berkualiti untuk menggantikan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, pemain tengah JDT, Eddy Israfilov turut menyuarakan keyakinan pasukan untuk mengharungi perlawanan tersebut dengan penuh semangat dan keazaman tinggi.
Menurutnya, barisan pemain bertekad memanfaatkan peluang itu untuk mencipta sejarah buat kelab serta bola sepak Malaysia di pentas Asia.
“Kami akan bermain dengan personaliti, menikmati permainan dan berjuang habis-habisan. Ini peluang baharu untuk kami melangkah lebih jauh,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST