KUALA LUMPUR – Negara Islam perlu bersatu mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada sebarang bentuk pencerobohan, tegas beberapa pertubuhan utama dunia Islam susulan insiden terbaru melibatkan pemimpin ekstremis Israel.
Dalam satu kenyataan bersama, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Alliance of World Mosques in Defence of Al-Aqsa dan Secretariate of the Ulama Assembly of Asia mengutuk keras tindakan mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa yang didakwa diketuai oleh Itamar Ben-Gvir dengan perlindungan bersenjata.
Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut bukan satu provokasi terpencil, sebaliknya sebahagian daripada strategi sistematik untuk menghakis status sejarah, undang-undang dan spiritual Al-Aqsa.
“Ini adalah cubaan terancang untuk mengubah realiti melalui kekerasan serta mencabar kedaulatan Islam ke atas Al-Aqsa,” menurut kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan itu, pencerobohan yang disertai ritual oleh peneroka melanggar aturan sedia ada dan berpotensi mencetuskan konflik agama.
“Dakwaan ‘pemilikan’ ke atas kompleks itu mencerminkan mentaliti kolonial yang cuba menulis semula sejarah dan memadam identiti umat Islam di Al-Quds,” katanya.
Menurut mereka, Al-Aqsa bukan sekadar isu Palestin, sebaliknya melibatkan seluruh umat Islam di dunia.
“Ia adalah kiblat pertama umat Islam, masjid ketiga paling suci dan simbol maruah serta kesatuan ummah.
“Sebarang pencabulan terhadapnya adalah serangan terhadap seluruh dunia Islam. Diam bukan lagi neutral, tetapi satu bentuk keterlibatan,” tegas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut mendakwa sekatan terhadap jemaah, penutupan masjid selama 40 hari serta larangan solat Aidilfitri membuktikan kegagalan status quo sejak 1967.
“Ia bukan lagi isu pengurusan tempat suci, tetapi pengambilalihan secara sistematik,” katanya.
Presiden Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi semasa merupakan ujian besar kepada kepimpinan dan kesatuan umat Islam.
“Al-Aqsa adalah amanah suci yang tidak boleh dirunding. Ia mesti dipertahankan dengan kesatuan, strategi dan keteguhan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MANAR, Syekh Ahmad Awang dan Pengerusi SHURA, Syekh Abdul Ghani Samsudin turut senada menggesa umat Islam bangkit melangkaui perbezaan.
“Sejarah tidak akan mengingati kenyataan kita, tetapi tindakan kita,” katanya. – DETIK MALAYSIA