PELABUHAN KLANG – Dua bot fiber ditahan selepas dikesan beroperasi dalam keadaan mencurigakan di perairan kira-kira 0.8 batu nautika barat Sungai Tambak Jawa Kecil, Kapar di sini semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan sekitar pukul 11 pagi oleh sebuah kapal agensi itu yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Selangor.
Menurutnya, anggota operasi mengesan kedua-dua vesel tersebut dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua vesel dikendalikan dua tekong warga tempatan masing-masing berusia 47 dan 62 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati salah sebuah vesel membawa empat batang pokok yang menurut tekong terbabit bertujuan ditanam di kawasan perairan Sungai Janggut.
“Manakala sebuah lagi vesel tidak mempunyai nombor pendaftaran dan membawa tujuh warga asing berusia antara 22 hingga 45 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tenaga kerja bagi aktiviti penanaman pokok tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi mendapati enam daripada warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala seorang lagi mempunyai dokumen lengkap.
Kesemua individu terbabit bersama kedua-dua vesel kemudiannya diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Menurut Abdul Muhaimin, kes bagi vesel pertama disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti selain menangkap ikan.
Sementara itu, vesel kedua disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana tidak mempunyai dokumen serta nombor pendaftaran.
“Enam warga asing yang gagal mengemukakan dokumen sah pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di laut dan akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk tindakan segera. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Maritim Selangor