KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengambil pendekatan bijak, berhemah dan berpandangan jauh dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi ekonomi dunia ketika ini dipengaruhi konflik geopolitik, ketegangan perdagangan serta tekanan inflasi yang memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia.
Menurut beliau, keputusan tidak mengadakan sambutan Aidilfitri terbuka oleh semua agensi kerajaan boleh dilihat sebagai langkah wajar dan berhemat dalam keadaan ekonomi semasa.
“Pendekatan ini menunjukkan kepekaan terhadap realiti yang dihadapi rakyat selain memberi keutamaan kepada pengurusan sumber negara secara lebih berdisiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, langkah penjimatan tersebut perlu disusuli dengan usaha lebih tersusun supaya rakyat benar-benar merasai manfaatnya.
Menurut beliau, penjimatan kos acara rasmi kerajaan wajar diterjemahkan kepada pengukuhan bantuan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, pekerja sektor tidak formal serta keluarga yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
“Bantuan tunai, subsidi bersasar dan sokongan kepada golongan rentan perlu diurus secara cekap, telus serta sampai kepada penerima sebenar tanpa kerenah birokrasi,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu memastikan bantuan yang diberikan bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya membantu rakyat membina ketahanan ekonomi dalam jangka panjang.
Dalam masa sama, Mohd Azmi berkata isu kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat dan memerlukan langkah konkrit daripada kerajaan.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk meningkatkan pengawasan rantaian bekalan bagi mengelakkan manipulasi harga, memperkukuh usaha menstabilkan harga makanan asas serta mempercepatkan pelaburan dalam sektor pertanian dan agro makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Negara juga memerlukan pelan jangka panjang yang kukuh bagi memperkasakan ekonomi rakyat dengan memberi fokus kepada industri tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta ekonomi komuniti,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan memperluaskan peluang pekerjaan bernilai tinggi melalui pembangunan teknologi, inovasi dan ekonomi digital selain memastikan dasar ekonomi negara lebih inklusif.
Selain itu, kerajaan disaran memperkukuh jaringan keselamatan sosial termasuk skim perlindungan pendapatan bagi pekerja tidak tetap, peluasan perlindungan insurans sosial serta program latihan semula untuk pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan koperasi, perusahaan sosial dan inisiatif ekonomi komuniti juga mampu membantu memperkukuh ekonomi rakyat secara kolektif.
“Dalam tempoh krisis, integriti pengurusan kewangan negara amat penting. Ketirisan, pembaziran dan pengurusan tidak cekap perlu dibanteras bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, krisis ekonomi global bukan sekadar cabaran, malah peluang untuk menilai semula pendekatan pembangunan negara.
“Langkah penjimatan seperti tidak mengadakan sambutan Aidilfitri terbuka oleh agensi kerajaan adalah isyarat yang baik, namun yang lebih penting ialah memastikan penjimatan itu diterjemahkan kepada dasar yang benar-benar membantu rakyat,” katanya. – DETIK MALAYSIA