TEHRAN – Pasukan bola sepak kebangsaan Iran dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada saingan Piala Dunia 2026 susulan kebimbangan serius berkaitan keselamatan serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.
Perkara itu disahkan Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali pada 11 Mac lalu, sekali gus mencetuskan kejutan menjelang kejohanan bola sepak terbesar dunia tersebut.
Menurut Donyamali, keselamatan pemain dan pegawai pasukan tidak dapat dijamin, terutama dengan ketegangan politik yang melibatkan negara tuan rumah kejohanan.
“Melihat kepada keadaan semasa, keselamatan pemain kami tidak terjamin dan situasi ini menjadikan penyertaan Iran dalam Piala Dunia tidak lagi sesuai,” katanya.
Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dalam suasana geopolitik yang tegang di Asia Barat.
Donyamali turut mendakwa konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel telah meningkatkan ketidakstabilan di rantau tersebut.
“Jika rejim yang dianggap korup ini telah membunuh pemimpin kami, bagaimana kami boleh menyertai Piala Dunia? Anak-anak kami tidak selamat dan keadaan untuk kami bertanding sudah tidak wujud,” ujarnya.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Mehdi Taj juga memberi bayangan bahawa Iran mungkin menarik diri sekiranya isu keselamatan tidak dapat diselesaikan.
Sekiranya keputusan itu dimuktamadkan, ia bakal menjadi penarikan diri pertama daripada Piala Dunia sejak edisi 1950 apabila India dan Perancis menarik diri atas faktor kos perjalanan serta logistik ke Brazil.
Bagaimanapun, tindakan tersebut boleh membawa implikasi besar kepada Iran apabila negara itu berisiko dikenakan denda sekitar CHF250,000 (RM1.3 juta) oleh FIFA selain kemungkinan digantung daripada pertandingan antarabangsa.
Malah, tempat Iran di Piala Dunia juga berpotensi diberikan kepada negara lain yang layak.
Situasi itu turut dijangka memberi cabaran kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino yang sebelum ini menerima jaminan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa Iran akan dibenarkan menyertai kejohanan tersebut walaupun berdepan ketegangan politik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC