HANOI – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan skuad negara akan turun dengan semangat juang tinggi demi maruah dan kemenangan menjelang aksi menentang Vietnam dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.
Menurut pengendali dari Australia itu, walaupun kempen kelayakan Malaysia terjejas oleh faktor di luar kawalan, fokus pasukan kekal utuh untuk memberikan aksi terbaik.
“Kami kecewa dengan situasi yang berlaku kerana ia di luar kawalan kami. Namun, kami fokus kepada apa yang boleh dikawal cara kami berlatih, membuat persiapan dan beraksi di atas padang,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Cklamovski turut memuji komitmen tinggi dipamerkan para pemain dan pegawai sepanjang tempoh sukar ini.
“Dalam saat sukar, anda akan dinilai sebagai individu dan sebagai satu pasukan. Saya sangat bangga dengan pemain dan staf. Komitmen mereka cukup luar biasa,” ujarnya.
Sebagai persiapan menghadapi perlawanan penting ini, skuad negara telah menjalani kem latihan intensif di Thailand dengan kerjasama pihak BG Pathum United yang menyediakan kemudahan terbaik.
“Kami menjalani kem latihan yang baik di Thailand. Terima kasih kepada BG kerana menjadi tuan rumah. Ia membantu kami memperbaiki banyak aspek permainan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau mengakui cabaran besar menanti apabila Malaysia turun beraksi di gelanggang Vietnam, lebih-lebih lagi rekod buruk tanpa kemenangan di tempat lawan sejak lebih 12 tahun lalu.
“Malaysia tidak menang di Vietnam dalam tempoh lebih 12 tahun, jadi itu satu cabaran untuk diatasi. Kami tetap turun dengan mentaliti untuk menang,” katanya.
Cklamovski menegaskan fokus utama pasukan adalah untuk mempamerkan prestasi terbaik sepanjang kempen kali ini.
“Kami mahu bermain bola sepak terbaik dalam kempen ini. Itu cabaran yang kami sambut,” katanya.
Mengulas kekuatan lawan, beliau mengakui Vietnam memiliki skuad yang mantap termasuk beberapa tonggak utama yang kembali memperkuatkan pasukan.
“Vietnam adalah pasukan yang sangat kuat dengan pemain berkualiti. Tetapi kami fokus kepada pelan permainan sendiri dan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan keputusan positif,” jelasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM