KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski tetap berbangga dengan semangat juang anak buahnya meskipun tewas 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F, pusingan ketiga kelayakan AFC Piala Asia 2027.
Menurutnya, skuad negara mempamerkan mentaliti dan ketahanan tinggi walaupun berdepan tekanan, terutama selepas dibolosi awal hasil sepakan penjuru lawan.
“Kami bolos awal menerusi sepakan penjuru yang cukup baik, dan mereka mengambil peluang itu dengan sempurna.
“Namun saya lihat reaksi pemain sangat positif. Kami cipta beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama. Jika berjaya menyamakan kedudukan, permainan pasti berbeza,” katanya.
Cklamovski menjelaskan Malaysia sebenarnya memiliki empat hingga lima peluang terbaik, namun kegagalan menyudahkannya menjadi punca utama kekalahan.
“Detik seperti itu mengubah perlawanan. Kredit kepada Vietnam kerana mereka lebih klinikal di depan gol,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau memuji komitmen tinggi pemain yang tetap berjuang walaupun beraksi di tempat lawan dengan suasana penyokong yang mencabar.
“Untuk datang ke sini dan bermain seperti ini, saya sangat bangga. Mentaliti, semangat dan keazaman yang ditunjukkan sepanjang enam bulan ini cukup luar biasa.
“Ia memberi inspirasi kepada saya,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun menghormati kekuatan Vietnam, skuad negara tetap menunjukkan kemampuan mencabar lawan sehingga wisel penamat.
“Ini bukan pengakhiran untuk pasukan kebangsaan, sama sekali tidak.
“Pemain menunjukkan mentaliti dari minit pertama hingga akhir. Malah di penghujung permainan kami masih mencipta peluang,” katanya tegas.
Mengulas lanjut, beliau mengakui pasukan memerlukan sedikit masa untuk pulih secara emosi selepas melalui kempen yang mencabar.
“Pemain perlukan masa untuk pemulihan dan mungkin sedikit proses ‘healing’. Situasi yang kami hadapi kali ini sangat unik dalam bola sepak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap penyokong tanah air terus berdiri teguh di belakang pasukan.
“Saya harap penyokong Malaysia bangga dengan pemain ini.
“Mereka beri segalanya untuk diri sendiri, keluarga, negara dan generasi akan datang. Mereka adalah inspirasi kepada Malaysia,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC