NONTHABURI – Hasrat skuad futsal negara untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Futsal ASEAN 2026 berkecai selepas tewas 0-1 kepada Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan B di Nonthaburi PAO Gymnasium, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengutip sebarang mata selepas turut tewas kepada Australia dalam perlawanan pembukaan, sekali gus tersingkir awal daripada saingan.
Ketua jurulatih, Addie Azwan Zainal sekali lagi mempertaruhkan tenaga muda Adam Rayyan Nor Hisam di bahagian serangan, namun skuad negara berdepan tentangan sengit Indonesia yang tampil lebih agresif sejak awal permainan.
Indonesia yang dibimbing Hector Souto hampir membuka jaringan menerusi Guntur Ariwibowo dan Andres Dwi Persada, namun ketangkasan penjaga gol Malaysia, Ammar Harith Mohammad berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya.
Ammar Harith terus cemerlang apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting untuk memastikan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bagaimanapun, gawang Malaysia akhirnya dibolosi seawal minit ketiga babak kedua apabila Guntur melepaskan rembatan kencang untuk meletakkan Indonesia di hadapan 1-0.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia cuba bangkit memburu gol penyamaan, namun kekentalan benteng pertahanan Indonesia menyukarkan usaha tersebut.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-37 menerusi Faaris Amsyar Marhaidi, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.
Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan penyingkiran Malaysia daripada kejohanan selepas dua kekalahan berturut-turut.
Sementara itu, Indonesia mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B selepas sebelum ini membelasah Brunei 7-0 dalam aksi pembukaan.
Malaysia dijadual menutup kempen kumpulan dengan menentang Brunei esok dalam usaha menamatkan saingan dengan keputusan positif. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM