KUALA LUMPUR – Pendekatan lebih terbuka dan profesional antara pihak media dan polis Kuala Lumpur berjaya dicapai susulan insiden melibatkan tiga wartawan ketika membuat liputan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras, 6 April lalu.
Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, yang bertindak pantas mengambil maklum berhubung insiden berkenaan.
Insiden itu melibatkan tiga wartawan iaitu Ng Leng Choo (China Press), Cheng Yoon Seng (Oriental Daily) dan Lian Jin Kiat (Sin Chew Daily) yang didakwa diarahkan memadam gambar serta video oleh dua individu dipercayai anggota polis ketika menjalankan tugas.
Susulan kejadian, satu pertemuan secara santai diadakan antara Presiden CiJA bersama dua wartawan terlibat dengan Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, petang tadi.
Dalam pertemuan itu, beliau memohon maaf atas insiden berkenaan selain menegaskan komitmen untuk memastikan perkara sama tidak berulang.
Menurut CiJA, walaupun tanggungjawab polis amat besar dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, hubungan erat antara media dan pihak berkuasa perlu terus diperkukuh selaras semangat “Polis & Media Berpisah Tiada”.
Tambahnya, Ketua Polis Kuala Lumpur itu turut menyarankan wartawan yang berdepan kesukaran ketika membuat liputan agar berhubung terus dengan beliau bagi memastikan sebarang isu dapat diselesaikan segera.
Ketiga-tiga wartawan terlibat turut merakamkan penghargaan atas kesediaan beliau mendengar pandangan dan berharap insiden sama tidak berulang pada masa depan.
Dalam masa sama, beliau turut memberi jaminan akan menyalurkan arahan kepada semua pegawai dan anggota Polis Kuala Lumpur supaya sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak media.
Sehubungan itu, CiJA memaklumkan isu berkenaan diselesaikan secara harmonis tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
Menurutnya, hubungan antara CiJA dan Polis Diraja Malaysia, khususnya Polis Kontinjen Kuala Lumpur, amat penting bagi memastikan kerjasama berterusan dalam suasana harmoni.
CiJA turut merakamkan penghargaan kepada Gerakan Media Merdeka dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan atas sokongan dalam memastikan kebajikan serta hak pengamal media terus terpelihara. – DETIK MALAYSIA