NINGBO, CHINA – Kem badminton negara memulakan cabaran di Badminton Asia Championships 2026 dengan keputusan bercampur-baur apabila beberapa wakil negara mara ke pusingan kedua, manakala selebihnya tersingkir seawal pusingan 32 terbaik (R32), semalam.
Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menerima tamparan awal apabila terkandas selepas tewas dalam pertarungan tiga set kepada pasangan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa-Nga.
Pasangan pilihan ketujuh itu bermula garang sebelum tewas 24-22, 18-21, 11-21 dalam aksi sengit yang menyaksikan lawan bangkit lebih ampuh di set penentuan.
Turut menerima nasib sama ialah gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terpaksa akur kepada kekuatan pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu selepas tewas straight set 18-21, 18-21.
Bagaimanapun, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan tampil cemerlang apabila mudah menundukkan wakil Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau May Ying 21-14, 21-11 untuk mara ke pusingan kedua.
Mereka dijadualkan berdepan pasangan Taiwan, Hsu Yin-Hui-Lin Jhin Yun bagi merebut slot ke suku akhir.
Dalam acara perseorangan wanita, K. Letshanaa turut menceriakan kem negara apabila melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan wakil India, Tanvi Sharma 21-19, 21-14.
Menanti Letshanaa selepas ini ialah pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin yang mencipta kejutan menyingkirkan pilihan kelima dari China.
Namun, perjalanan Goh Jin Wei berakhir awal apabila tewas kepada bintang muda Jepun, Tomoka Miyazaki 12-21, 15-21.
Dengan beberapa wakil masih meneruskan cabaran, harapan Malaysia kini terarah kepada baki pemain untuk terus melangkah lebih jauh dan mengibar cabaran negara di kejohanan berprestij Asia itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Badminton Asia