KUALA LUMPUR – Memasuki hari ke-66 tragedi banjir di Nepal-Tibet, kesemua 54 keluarga rakyat Malaysia yang terkesan masih menantikan keputusan kerajaan berhubung Bantuan Khas Kewangan yang dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) berharap perbincangan itu menghasilkan keputusan positif, selain disusuli pengumuman rasmi dan tindakan konkrit bagi membantu keluarga terlibat.
Penyelaras dan jurucakap MASFIH, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, pihaknya turut memantau perkembangan proses penyaluran bantuan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada waris individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran.
Menurutnya, susulan pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia pada Rabu lalu, PERKESO mula menghubungi waris terlibat sejak 29 Oktober menerusi pelbagai saluran termasuk nombor telefon tersedia, pihak majikan dan media sosial.
“Kami menghargai usaha PERKESO menghubungi waris kerana ia menunjukkan komitmen agensi berkenaan memastikan mereka yang layak menerima bantuan sewajarnya.
“Bagaimanapun, pada peringkat awal terdapat beberapa kekangan penyelarasan komunikasi memandangkan MASFIH sebelum ini telah menyerahkan maklumat awal individu yang hilang,” katanya dalam kenyataan media sempena hari ke-66 tragedi itu hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kemudian menghubungi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PERKESO bagi membangkitkan isu berkenaan susulan maklum balas diterima daripada beberapa ahli keluarga.
Katanya, hasil perbincangan itu, PERKESO berkongsi senarai individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran sebelum MASFIH mengemas kini maklumat waris termasuk nombor telefon dan butiran perhubungan mereka.
“Senarai lengkap kemudian diserahkan kepada PERKESO bagi memudahkan proses menghubungi waris secara terus.
“Kami berpuas hati kerana selepas penyelarasan itu dibuat, proses komunikasi kini berjalan lebih lancar dan waris berkenaan dapat dihubungi secara langsung,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan maklum balas beberapa keluarga yang telah dihubungi PERKESO, mereka dimaklumkan proses pengumpulan dokumen sokongan sedang dipercepatkan dengan bayaran dirancang untuk disalurkan pada Rabu, 4 November 2026.
Dalam pada itu, MASFIH merakamkan penghargaan atas kerjasama dan maklum balas PERKESO dalam menangani kekangan komunikasi serta mempercepatkan proses penyaluran bantuan.
“66 hari telah berlalu. Keluarga masih menanti. Setiap komitmen yang diberikan perlu diterjemahkan kepada bantuan yang bermakna dan tindakan yang nyata.
“MASFIH akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan, memantau perkembangan serta memperjuangkan kepentingan dan kebajikan kesemua 54 keluarga yang terkesan akibat tragedi ini,” katanya.
Beliau berharap keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membawa perkembangan positif, selain memastikan tiada waris yang layak tercicir disebabkan kekangan pentadbiran atau komunikasi. – DETIK MALAYSIA
