KUALA LUMPUR – Saingan Liga Malaysia melakar sejarah baharu apabila menjalin kerjasama pelesenan dengan syarikat permainan video terkenal, Konami Digital Entertainment, sekali gus menyaksikan liga domestik negara buat julung kali tampil dalam platform permainan global eFootball.
Kerjasama bersejarah yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) itu membuka peluang kepada peminat bola sepak tempatan merasai pengalaman mengendalikan kelab kegemaran mereka di alam maya.
Inisiatif tersebut dilancarkan menerusi kemas kini eFootball versi 5.4 yang menampilkan jersi rasmi pasukan, senarai pemain terkini serta pengalaman permainan realistik yang menjadi identiti siri berkenaan.
Menurut pihak KONAMI, Malaysia memiliki antara komuniti bola sepak paling bersemangat di Asia Tenggara, menjadikan kemasukan Liga Malaysia sebagai satu pencapaian besar buat kedua-dua pihak.
Sebanyak 13 kelab akan ditampilkan dalam permainan tersebut termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC, Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC, PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan TRW FC, Penang FC, Imigresen FC, Melaka FC dan DPMM FC.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting dalam menghubungkan bola sepak tempatan dengan peminat menerusi era digital.
“Kolaborasi ini membolehkan penyokong mewakili kelab Liga Malaysia dalam eFootball buat pertama kali, sekali gus membawa keterujaan saingan domestik ke platform global,” katanya.
Sempena pelancaran tersebut, pemain yang log masuk ke dalam permainan sepanjang tempoh kempen akan menerima ganjaran eksklusif termasuk Selection Contract bagi mendapatkan kad pemain pilihan Liga Malaysia.
Dalam masa sama, pelayan (server) khas Malaysia turut diperkenalkan bagi meningkatkan kestabilan, respons permainan serta pengalaman dalam talian khusus untuk pemain tempatan.
KONAMI turut memperluaskan inisiatif e-sukan menerusi penganjuran eFootball Championship 2026 Malaysia Cup yang sedang berlangsung, dengan kemuncaknya dijadualkan pada 18 hingga 19 April ini di LaLaport BBCC.
Juara kategori mudah alih dan konsol akan melayakkan diri ke peringkat Open Regional Finals, sekali gus membuka peluang pemain Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
Terdahulu, permainan ini dikenali sebagai Pro Evolution Soccer (PES) sebelum dijenamakan semula sebagai eFootball, selaras dengan peralihan kepada ekosistem permainan percuma merentas platform.
Kini, eFootball telah melepasi satu bilion muat turun di seluruh dunia, mencerminkan populariti serta pengaruhnya dalam komuniti bola sepak digital global.
Dengan penyertaan rasmi Liga Malaysia, kerjasama ini dilihat mampu meningkatkan visibiliti bola sepak tempatan di peringkat antarabangsa, sekali gus merapatkan jurang antara dunia sebenar dan arena digital. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL