KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB menjalankan siasatan antarabangsa secara bebas terhadap dakwaan pembunuhan enam sekeluarga Al Masri di Gaza pada 21 Julai lalu.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, insiden yang dilaporkan mengorbankan ibu bapa serta empat anak mereka selepas didakwa rentung dalam satu serangan itu perlu disiasat secara menyeluruh sekiranya laporan tersebut disahkan.
Menurutnya, kejadian itu bukan sekadar satu lagi tragedi dalam konflik berpanjangan di Gaza, sebaliknya mencerminkan penderitaan besar yang terus ditanggung penduduk awam.
“Setiap nyawa kanak-kanak yang terkorban, setiap keluarga yang musnah dan setiap orang awam yang menjadi mangsa serangan adalah satu kegagalan kepada hati nurani kemanusiaan.
“Dunia tidak boleh terus menjadi saksi kepada pembunuhan orang awam tanpa tindakan yang tegas,” katanya menerusi surat terbuka yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB dan Presiden Majlis Keselamatan PBB.
Sehubungan itu, MAPIM mengemukakan lapan tuntutan kepada PBB, antaranya supaya satu siasatan antarabangsa bebas diwujudkan bagi menyiasat kejadian berkenaan serta memastikan semua bukti dipelihara.
Selain itu, MAPIM turut menggesa semua pihak yang didapati bertanggungjawab dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang jenayah antarabangsa.
Pertubuhan itu turut menggesa gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di seluruh Gaza, selain memastikan bantuan kemanusiaan seperti makanan, air, ubat-ubatan, bahan api dan bantuan perubatan dapat disalurkan tanpa sekatan kepada penduduk awam.
MAPIM juga menyeru agar perlindungan antarabangsa diberikan kepada orang awam di Gaza, semua serangan terhadap penduduk serta infrastruktur awam dihentikan, mekanisme kehakiman antarabangsa yang sah disokong dan prinsip bahawa tiada mana-mana negara atau angkatan tentera yang kebal daripada undang-undang antarabangsa terus dipertahankan.
Mohd Azmi berkata, masyarakat antarabangsa akan diadili oleh sejarah bukan sahaja atas tindakan yang dilakukan, tetapi juga kerana memilih untuk berdiam diri ketika tragedi kemanusiaan berlaku.
“Pembunuhan keluarga Al Masri memerlukan lebih daripada sekadar ucapan simpati. Ia menuntut keadilan, pertanggungjawaban dan tindakan tegas masyarakat antarabangsa.
“Dunia tidak boleh sekali lagi gagal melindungi Gaza,” katanya. – DETIK MALAYSIA
