SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyifatkan ancaman sekumpulan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa Malaysia mengubah dasar terhadap rakyat Israel dalam tempoh 15 hari sebagai satu bentuk campur tangan terhadap kedaulatan negara.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata, tindakan itu juga disifatkan sebagai ugutan politik yang tidak boleh diterima terhadap sebuah negara berdaulat.
Menurut beliau, tiada mana-mana negara berhak menentukan dasar domestik, keputusan imigresen atau dasar luar Malaysia, sambil menegaskan tindakan sedemikian bercanggah dengan prinsip kesaksamaan kedaulatan negara yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Adalah membimbangkan apabila wakil rakyat AS memilih pendekatan ugutan berbanding diplomasi dan saling menghormati.
“Dakwaan bahawa Malaysia bersifat anti-Semitik juga adalah tidak benar, melulu dan bermotifkan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmi berkata, pendirian Malaysia tidak pernah ditujukan terhadap agama Yahudi atau masyarakat Yahudi, sebaliknya tertumpu kepada dasar dan tindakan negara Israel, termasuk isu pendudukan wilayah Palestin, peluasan penempatan haram, hukuman kolektif terhadap orang awam serta dakwaan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau turut menyifatkan usaha menyamakan kritikan terhadap Israel dengan anti-Semitisme sebagai cubaan menutup kritikan yang sah dan mengelakkan negara itu daripada dipertanggungjawabkan.
Pada masa sama, beliau berkata, adalah ironi apabila pihak yang mengkritik Malaysia didakwa tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang menyaksikan kehilangan banyak nyawa, kemusnahan infrastruktur serta perpindahan berjuta-juta penduduk.
Menurutnya, dasar Malaysia berhubung isu Palestin berasaskan prinsip keadilan, undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa kerajaan Malaysia menolak sebarang ancaman berkenaan tanpa berkompromi.
Dalam kenyataan sama, MAPIM turut menyeru ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara-negara Global South dan semua negara yang mempertahankan kedaulatan serta sistem antarabangsa berasaskan peraturan supaya menolak diplomasi berbentuk paksaan.
“Solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin berasaskan keadilan, nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Ia tidak boleh ditentukan melalui ugutan, sekatan atau tekanan politik,” katanya. – DETIK MALAYSIA
