NONTHABURI – Skuad futsal negara menamatkan kempen Kejohanan Futsal ASEAN 2026 dengan kemenangan meyakinkan 8-4 ke atas Pasukan Futsal Brunei dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nonthaburi, Thailand, semalam.
Bagaimanapun, kemenangan besar itu tidak cukup untuk membawa Pasukan Futsal Malaysia ke pentas separuh akhir selepas tewas dalam dua perlawanan awal menentang Australia dan Indonesia, sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan.
Anak buah kendalian Addie Azwan Zainal bermula garang apabila menguasai permainan sejak awal, dengan pemain muda sensasi, Faaris Amsyar Marhaidi mencuri tumpuan menerusi hatrik pantas pada minit ke-4, 5 dan 22.
Brunei cuba bangkit menerusi jaringan Nur Yamin Muhammad pada minit ke-21, namun Malaysia terus mengawal tempo perlawanan.
Gol sendiri oleh Abi Syarillizam Sabtu pada minit ke-24 menambah kelebihan buat Malaysia sebelum jaringan Iqbal Hazim Radzi (m-32) dan Muhammad Amirul Syahmi Mohd Sanusi seminit kemudian melebarkan jurang.
Aidil Zakwan Zaidi kemudian melengkapkan pesta gol negara menerusi dua jaringan lewat pada minit ke-37 dan 38.
Brunei tidak mengalah apabila Abdul Azim Boll Hassan meledak dua gol (m-25, 32) dan Nazirul Mubin Adruman turut mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-28.
Walaupun gagal mara ke separuh akhir, kemenangan bergaya itu sekurang-kurangnya memberi tonik positif buat skuad negara untuk bangkit dalam kejohanan akan datang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM