KUALA LUMPUR – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meluluskan penggunaan shuttlecock sintetik daripada pengeluar terkemuka, Victor dan Yonex dalam beberapa kejohanan antarabangsa terpilih sebagai sebahagian daripada inisiatif penilaian jangka panjang.
Langkah itu membolehkan shuttlecock berkenaan digunakan dalam kejohanan BWF Gred 3 serta acara Junior Antarabangsa, sekali gus menjadi fasa penting dalam usaha menilai alternatif kepada bulu tangkis tradisional berasaskan bulu angsa.
Menurut BWF, inisiatif tersebut bertujuan menguji prestasi, ketahanan serta ciri penerbangan shuttlecock sintetik dalam persekitaran kompetitif sebenar.
Badan induk itu turut bekerjasama rapat dengan pihak pengeluar bagi memastikan produk yang dibangunkan memenuhi standard permainan elit, khususnya dari segi trajektori penerbangan dan ‘feel’ yang setanding dengan shuttlecock konvensional.
Bagi fasa percubaan ini, dua model diluluskan untuk digunakan iaitu Victor New Carbon Sonic Max (SC-NCS-MAX-12) dan Yonex Crosswind 70 Synthetic Shuttlecock.
Kedua-dua shuttlecock tersebut akan diperkenalkan secara berperingkat dalam kejohanan terpilih bagi membolehkan pemantauan rapi dilakukan sepanjang perlawanan berlangsung.
Proses penilaian turut melibatkan pengumpulan data menyeluruh daripada pengeluar selain maklum balas pemain, pegawai teknikal serta penganjur kejohanan.
Maklumat itu akan menjadi asas kepada BWF untuk menentukan sama ada shuttlecock sintetik berpotensi digunakan dalam kejohanan bertaraf lebih tinggi pada masa depan.
Percubaan ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam teknologi peralatan badminton, terutama dalam aspek kelestarian, ketahanan dan kecekapan kos yang semakin diberi perhatian dalam sukan berkenaan. – DETIK MALAYSIA