KUALA TERENGGANU – Status Terengganu FC dalam kancah Liga Super musim depan mula menjadi tanda tanya apabila pengurusan kelab itu sedang menilai kemungkinan beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim mendedahkan, perbincangan masih berjalan dan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Menurutnya, cadangan tersebut sedang diteliti secara menyeluruh, terutama membabitkan kekangan kewangan yang masih menghimpit pasukan.
“Perkara ini belum dimuktamadkan. Kita sedang meneliti cadangan untuk TFC beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim depan, namun ia bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan,” katanya.
Beliau mengakui isu kewangan menjadi cabaran utama, malah mengibaratkannya seperti penyakit kronik yang memerlukan pengurusan berterusan.
“Masalah kewangan ini seperti penyakit diabetes, bukan mudah untuk diselesaikan dalam tempoh singkat,” jelasnya.
Sekiranya pelan tersebut direalisasikan, TFC dijangka memberi fokus kepada pembangunan pemain muda serta penstrukturan semula kelab bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.
Langkah itu juga dilihat sebagai usaha menyelesaikan beberapa isu dalaman termasuk pentadbiran dan tunggakan kewangan yang pernah menyebabkan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA sebelum ini.
Dalam masa sama, fokus skuad tidak terjejas apabila mereka kekal memburu sasaran musim ini dalam Liga Super.
Ketika ini, TFC berada di tangga kelima dengan 32 mata daripada 20 perlawanan, sekali gus berada di landasan tepat untuk mencapai KPI ditetapkan.
“TFC masih berada di landasan yang betul untuk menamatkan saingan di kedudukan lima teratas,” katanya.
Skuad Pantai Timur itu masih berbaki empat perlawanan penting menentang Negeri Sembilan FC, Kuching City FC, Imigresen FC dan Sabah FC.
Ketika musim semakin menghampiri penamat, TFC kini berdepan dilema besar terus kekal bersaing di liga elit atau mengorak langkah baharu demi kelangsungan masa depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TFC