KEMAMAN – Institusi pendidikan tinggi berteraskan teknikal, Universiti College TATI (UC TATI), terus mengangkat martabat pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) apabila menjadikan litar perlumbaan sebagai platform aplikasi dunia sebenar buat pelajarnya.
Menerusi penyertaan dalam Kejuaraan Formula Student Malaysia (FMS) yang akan berlangsung di Litar Dato Sagor bermula 21 April ini, UC TATI Racing Team tampil membawa aspirasi memperkukuh keupayaan pelajar dalam bidang kejuruteraan automotif berprestasi tinggi.

Pengurus pasukan, Mohd Saifuldin Mohd Mokhtar, berkata penyertaan tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk menguji kefahaman teori melalui pengalaman praktikal yang lebih mencabar dan realistik.
“Di sinilah pelajar benar-benar memahami bagaimana sesuatu jentera dibangunkan dari peringkat awal hingga diuji di litar. Ia bukan sekadar pembelajaran di dalam kelas, tetapi melibatkan penyelesaian masalah sebenar dalam situasi tekanan tinggi,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan ini selaras dengan keperluan industri yang mahukan tenaga kerja bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mahir dan bersedia menghadapi cabaran teknikal.
UC TATI Racing Team mempertaruhkan dua jentera lumba satu tempat duduk berkonsepkan Formula yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar bersama tenaga pengajar, sekali gus membuktikan keupayaan institusi TVET tempatan menghasilkan teknologi sendiri.

Bagi pemandu muda, Che Hanif Haikal Che Mat, peluang mengendalikan jentera ‘Redshark’ menjadi pengalaman berharga dalam membina keyakinan dan kemahiran di litar sebenar.
“Apa yang dipelajari sebelum ini kini diterjemahkan secara langsung di litar. Ia memberi pemahaman lebih mendalam tentang prestasi jentera dan peranan kami sebagai pemandu,” katanya.
Rakannya, Eizzedin Afkar Azil Hizaq yang memandu ‘Blueshark’, turut melihat penyertaan ini sebagai medan terbaik untuk meningkatkan disiplin serta ketahanan mental.
“Perlumbaan bukan sahaja menguji jentera, tetapi juga keupayaan kami membuat keputusan dengan pantas. Setiap saat di litar sangat berharga,” ujarnya.
Formula Student Malaysia merupakan pertandingan kejuruteraan berasaskan konsep reka bentuk, bina dan uji yang dianjurkan di bawah rangkaian SAE International. Program ini memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran STEM serta inovasi dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
Penyertaan UC TATI Racing Team dilihat sebagai langkah signifikan dalam memartabatkan TVET sebagai laluan pendidikan utama negara, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing dalam industri automotif global.