GRESIK – Skuad muda negara kembali mengaum! Pasukan Malaysia bangkit daripada kekecewaan apabila menewaskan tuan rumah, Indonesia 1-0 dalam aksi Kumpulan A Kejohanan ASEAN Bawah 17 Tahun 2026, malam tadi.
Kemenangan penting di Stadium Gelora Joko Samudro itu menghidupkan semula peluang anak buah kendalian Shukor Adan untuk mara ke separuh akhir, selepas dibelasah Vietnam 0-4 dalam aksi pembukaan.
Malaysia mempamerkan disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa sebelum menemui jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-34.
Pertahanan, Fareez Danial muncul wira apabila menanduk masuk gol hasil sepakan sudut, sekali gus memberikan kelebihan berharga menjelang rehat separuh masa.
Bersambung babak kedua, Indonesia menggandakan asakan di hadapan penyokong sendiri, namun benteng pertahanan negara kekal kebal menahan setiap percubaan lawan.
Aksi kental barisan pertahanan Malaysia memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat, sekali gus menghadiahkan tiga mata pertama buat skuad muda Harimau Malaya.
Kemenangan ini jelas membuktikan kebangkitan karakter pemain muda negara yang enggan mengalah, meskipun berdepan tekanan hebat.
Kini, Malaysia berdepan aksi hidup mati menentang Timor-Leste pada Ahad ini.
Kemenangan menjadi misi wajib jika mahu mengesahkan tempat ke separuh akhir dan terus memburu kejuaraan serantau. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM